Bekas Ketua Pemuda Amanah sertai Bersatu
BEKAS Ketua Pemuda Parti Amanah Negara Hasnul Zulkarnain Abd Munaim telah menyerahkan borang keahlian untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) hari ini.
Hasnul Zulkarnain yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong menyerahkan borang keahlian kepada Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin di pejabat beliau di Parlimen.
Menurut beliau, keputusan memilih Bersatu dibuat kerana parti itu berada di dalam gabungan kerjasama parti-parti Melayu Islam di dalam Perikatan Nasional (PN).
Menurutnya, tindakan menyertai Bersatu didorong keyakinan terhadap kepimpinan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.
“Ya, saya sudah menyertai Bersatu pada 3 Jun lalu dengan mendaftar sebagai ahli biasa seumur hidup. Saya memilih untuk berada di dalam Bersatu atas kepentingan gabungan kerjasama parti-parti Melayu Islam.
“Saya melihat kesungguhan Tan Sri Muhyiddin membawa budaya politik baharu yang menekankan akauntibiliti dan khidmat terus kepada rakyat tanpa ada jurang pemisah,” katanya seperti yang dilaporkan oleh Sinar Harian.
Katanya, secara keseluruhan penerimaan rakyat di kawasan Titi Serong amat baik dan akan terus memberikan penerangan dari semasa ke semasa tentang tindakan tersebut.-SM