Mahkamah

Bekas kerani bank pecah amanah RM65,400 akaun milik 39 warga emas

SEORANG bekas kerani bank mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Sibu hari ini atas pertuduhan melakukan pecah amanah melibatkan simpanan Amanah Saham Bumiputera sebanyak RM65,400 milik 39 pemegang akaun warga emas.

Andrew Yang Li Yu, 28, yang tidak diwakili peguam membuat pengakuan tersebut selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Caroline Bee Mananil.

Lelaki itu dituduh melakukan pecah amanah terhadap 39 penyimpan warga emas di Cawangan Maybank Kampung Nyabor antara Disember 2017 hingga Disember 2019 dengan memberikan setiap warga emas tersebut, dua set slip pengeluaran dan mengambil cap jari mereka pada kedua-dua set.

Satu daripada set itu digunakan untuk mengeluarkan wang tunai yang diserahkan kepada penyimpan terbabit manakala wang yang dikeluarkan menggunakan satu lagi set, didakwa diambil oleh tertuduh.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 408 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 14 tahun, denda atau sebat atau mana-mana dua hukuman tersebut.

Hakim Caroline kemudiannya menetapkan jaminan RM15,000 dengan dua penjamin dan memerintahkan tertuduh melaporkan diri ke balai polis terdekat dua kali sebulan dan menyerahkan pasport antarabangsanya.

Mahkamah turut menetapkan 10 Disember ini sebagai tarikh pengurusan kes. – BERNAMA – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button