
Bekas Atlet Bela Kerbau Dalam Rumah Flat!
TINDAKAN luar biasa seorang bekas atlet seni bela diri berusia 30 tahun membela seekor kerbau di dalam rumah sewanya mengundang perhatian ramai dan akhirnya menyebabkan dia dihalau oleh tuan rumah.
Individu berkenaan, dikenali sebagai Chen, bukan sahaja memelihara kerbau yang dinamakan Bull Demon King, malah turut menjaga seekor anak anjing sebagai peneman kepada haiwan ternakannya itu.
Menurut Chen, kerbau air adalah haiwan jinak dan tidak mendatangkan masalah kepada jiran tetangga. Namun, dia mengakui berdepan cabaran besar untuk menjaga haiwan sebesar itu di kawasan bandar yang kekurangan padang ragut dan ruang terbuka.
Baginya, kehadiran kerbau tersebut bukan sekadar haiwan peliharaan, tetapi menjadi teman setia yang membantu meningkatkan disiplin dan semangat hidupnya. Chen bertekad untuk memperbaiki taraf hidup dan enggan menjadi ‘niuma’—istilah yang digunakan di China bagi menggambarkan golongan yang bekerja keras tanpa sebarang pulangan bermakna.
Sebelum ini, Chen telah diusir dari sebuah kompleks perumahan selepas pemilik rumah menyedari kehadiran kerbaunya. Dia kemudian berpindah ke sebuah rumah sewa lain dengan kadar sewaan sekitar 400 yuan sebulan (kira-kira RM245). Pada mulanya, tuan rumah baharu tidak menyedari kehadiran haiwan itu, sehinggalah satu video tular di media sosial mendedahkan kehidupan luar biasa Chen.
Menyedari dirinya terus menjadi perhatian, Chen akhirnya pulang ke kampung halaman pada awal April lalu dan membina sebuah rumah kayu khas untuk menempatkan dua haiwan kesayangannya.
Kisah unik Chen berjaya meraih lebih 8 juta tontonan dan menarik lebih 23,000 pengikut di media sosial, menjadikan dia sekelip mata terkenal dalam kalangan netizen.
Petik:Mstar