Nasional

Bekalan ternakan untuk korban mencukupi

JABATAN Perkhidmatan Veterinar (DVS) menjangkakan bekalan lembu/kerbau tempatan bagi penyembelihan sempena Hari Raya Aidiladha 1444H adalah mencukupi dan memenuhi keperluan.

Mengikut statistik DVS, stok bekalan lembu/kerbau tempatan sehingga Mei 2023 adalah sebanyak 34,946 ekor, manakala bekalan lembu/kerbau yang diimport sehingga April 2023 pula adalah sebanyak 4,911 ekor. Jumlah keseluruhan bekalan untuk lembu/kerbau bagi tujuan korban adalah 39,857 ekor.

Bagi kambing/bebiri, bekalan tempatan untuk penyembelihan hari raya korban sehingga Mei 2023 adalah 25,821 ekor manakala bekalan kambing/bebiri yang diimport sehingga April 2023 adalah sebanyak 4,167 ekor.

“Jumlah keseluruhan bekalan untuk kambing/bebiri bagi tujuan korban adalah 29,988 ekor,” demikian menurut kenyataan yang dikeluarkan DVS..

Setelah mengambil kira keperluan masjid, surau dan penyembelihan luar masjid/surau, dianggarkan permintaan lembu/kerbau adalah sebanyak 38,404 ekor dan kambing/bebiri sebanyak 20,420 ekor untuk hari raya korban tahun ini.

Berdasarkan anggaran bekalan ternakan daripada perangkaan DVS, iaitu 39,857 ekor lembu/kerbau dan 29,988 ekor kambing/bebiri adalah dijangka mencukupi untuk menampung permintaan sembelihan korban pada tahun ini sebanyak 38,404 ekor lembu/kerbau dan 20,420 ekor kambing/bebiri.

Sebanyak 27 buah rumah sembelih ruminan milik DVS di seluruh Semenanjung Malaysia sentiasa bersedia untuk operasi. Di samping itu, DVS telah mengeluarkan lesen kepada 38 buah rumah sembelih swasta di Semenanjung Malaysia yang boleh memberi perkhidmatan penyembelihan bagi tujuan korban. – SM

(Visited 98 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button