Berita

Bayar PTPTN Guna Aplikasi ShopeePay

Peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) berpeluang menikmati baucar diskaun 10 peratus dan baucar diskaun berganda sekiranya membuat pembayaran balik menggunakan ShopeePay.

Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid, berkata semua pengguna aplikasi ShopeePay yang membuat bayaran balik pinjaman pendidikan bermula sekarang hingga 15 Julai depan layak menyertai Kempen Pay With Shopee!.

“Kempen ini bertujuan menggalakkan peminjam PTPTN membuat bayaran balik pinjaman pendidikan secara dalam talian dan menghargai peminjam yang komited membuat pembayaran secara konsisten melalui kemudahan saluran bayaran balik Shopee.

“Pemberian baucar diskaun 10 peratus daripada jumlah bayaran, tertakluk kepada jumlah maksimum RM5 kepada 60 pengguna aplikasi Shopee terawal setiap hari semasa tempoh kempen, kecuali pada 7 Julai depan.

“Ini kerana pada 7 Julai, seramai 120 pengguna terawal akan menerima baucar diskaun berganda iaitu bersempena bulan penubuhan PTPTN dan hari Mega Sales Shopee,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, setiap pengguna hanya layak menerima ganjaran baucar diskaun sekali sahaja dalam tempoh kempen dan pengguna yang berjaya menerima baucar diskaun perlu membuat penebusan terlebih dahulu sebelum membuat transaksi bayaran balik pinjaman.

Mengulas lanjut, Ahmad Dasuki berkata, kolaborasi PTPTN dengan Shopee adalah bukti komitmen pihaknya dalam memastikan peminjam dapat melaksanakan bayaran balik dengan cepat, mudah dan selamat.

“PTPTN juga amat mengalu-alukan kerjasama strategik daripada pelbagai agensi lain untuk membantu dan memudahkan peminjam membuat bayaran balik pinjaman mereka.

“Bayaran balik pinjaman yang dibuat peminjam amat bermakna dan penting demi kelestarian pinjaman PTPTN kepada generasi akan datang,” katanya.

Katanya, kaedah bayaran balik pinjaman PTPTN melalui Shopee mula diperkenalkan pada 2021 sebagai satu inisiatif untuk menggalakkan pelanggan PTPTN melakukan transaksi pembayaran melalui saluran bayaran dalam talian.

“Kemudahan saluran bayaran dalam talian ini juga selaras dengan Teras Strategik kelima, Pelan Strategik PTPTN 2021-2025 iaitu memperkasa organisasi ke arah lebih dinamik dan cemerlang melalui pendigitalan.

“Usaha ini bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kepada pelanggan tidak terjejas dan sentiasa berada pada tahap terbaik,” katanya.

Maklumat lanjut, layari portal rasmi PTPTN, www.ptptn.gov.my.

(Visited 207 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button