Auto TravelGajet

Bayar Isi Minyak Di Shell Hanya Dengan TNG RFID? Ini Perkara Menarik Yang Akan Diuji!

Jika sebelum ini Petronas memperkenalkan aplikasi Setel sebagai pemudah cara untuk pembayaran bagi pengisian minyak tanpa perlu beratur di kaunter, Shell nampaknya mengambil langkah yang serupa.

Namun kelainan yang dibawa oleh Shell adalah cara pembayaran yang sedang diuji ketika ini bermula 13 Julai 2021 lalu adalah menerusi kaedah TNG RFID.

Dengan kaedah ini, pengguna terlebih dahulu perlu melakukan beberapa tetapan seperti had pembayaran dan sebagainya pada aplikasi Touch n Go eWallet yang dihubungkan ke pelekat RFID pada kenderaan.

Seperti ramai sedia maklum, pelekat TNG RFID sedia ditawarkan sejak sebelum ini dalam memudahkan pembayaran tol yang mengimbas pelekat RFID berkenaan.

Kaedah sama akan dilakukan pada stesen minyak Shell, di mana sensor khusus akan digunakan untuk mengimbas pelekat pada kenderaan pengguna untuk membolehkan pengguna terus berhenti berhampiran pam, dan keluar untuk melakukan pengisian minyak terus – sekaligus mengurangkan proses keperluan ke kaunter, atau menunggu pengesahan transaksi daripada kaunter pembayaran layan diri.

Pengguna hanya perlu parkir kenderaan bersebelahan dengan pam yang dilabelkan TNG RFID, dan sebuah panel akan memaparkan proses pengesahan untuk anda sebaik sahaja meletakkan kenderaan bersebelahan dengan pam.

Pengguna juga akan menerima notifikasi melalui aplikasi TNG mereka untuk melihat pembayaran dan perbelanjaan yang dilakukan.

Apa pun, hendaklah diketahui yang mana pengguna akan diberikan had masa 80 saat untuk memulakan pengisian selepas berhenti di pam yang mengesahkan pembayaran kaedah TNG RFID ini.

Sekiranya anda tidak memulakan pengisian dalam tempoh tersebut, anda perlu melakukan pembayaran seperti biasa – secara tunai atau kad seperti biasa.

Shell akan memulakan ujian kaedah pembayaran baru ini di lima buat stesen minyak di Lembah Klang, iaitu Shell Bandar Sri Menjalara, Shell Mint Hotel, Shell NKVE Damansara, Shell Taman Connaught, dan juga Shell Taman Tun Dr Ismail.

Sebelum ini, TNG turut pernah mengatakan mereka akan memperluaskan lagi kaedah pembayaran menggunakan TNG RFID, dan ia dilihat pembayaran pengisian minyak merupakan kaedah pertama ia diperluaskan di luar penggunaan pembayaran tol pada hari ini.

Bagi anda di Kuala Lumpur yang ingin menyertai program ini, boleh menyemak ikon Shell pada aplikasi Touch n Go e-Wallet anda, dan mendaftar bermula 13 Julai 2021 ini.

Shell akan lakukan ujian ini antara 13 Julai 2021 sehingga 12 Ogos 2021 akan datang.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button