Nasional

Batal projek BN boleh, mengapa tidak PSS?

Eksklusif

KERAJAAN negeri Sabah diterajui Parti Warisan boleh sahaja menarik balik pelaksanaan Pas Sementara Sabah (PSS) daripada terus mempersalahkan Barisan Nasional (BN) yang dituduh cuba mempolitikkan isu itu dalam kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Kimanis.

Bekas Perdana  Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak serentak dengan itu turut menegaskan, PSS tidak pernah diluluskan semasa era pentadbirannya (2009-2018) seperti mana didakwa oleh Warisan diperakui oleh Ketua Menteri Sabah Tan Sri Joseph Pairin Kitingan pada 2015.

“PSS ini (atau dikenali pas residen pada awalnya) tidak diluluskan (semasa pentadbiran BN) cuma ada cadangan beberapa pilihan tapi tak dilaksanakan.

“Sebab kita (BN) tahu implikasinya agak besar, siapa (pendatang tanpa izin) yang lahir akan dapat PSS secara  automatik menjadi warganegara. Ini akan  membuka ruang seluas-luasnya  kepada orang Filipina masuk ke Malaysia.

“Jadi (Warisan) jangan salahkan kita, kalau tak suka (PSS) tarik baliklah, kenapa tak tarik balik (pelaksanaannya)?

“(Hairannya) banyak pun projek yang kita (BN)  buat dahulu di Sabah, dia (Warisan) batalkan, (bila tiba isu PSS) kenapa tak batalkan…sebaliknya salahkan kita (BN).

“Projek Lebuh Raya Pan Borneo yang besar itu pun dah terbengkalai, banyak projek lagi dibatalkan, mengapa tidak PSS?,” kata Najib kepada SUARA MERDEKA di Kota Kinabalu, hari ini.

Najib seterusnya mengingatkan rakyat Sabah bahawa pelaksanaan PSS mulai 1 Jun tahun ini hanya akan  membawa implikasi ekonomi kepada negara dengan  perkhidmatan hospital, sekolah dan sebagainya pasti digunakan oleh pendatang tanpa izin (PTI).

“Keduanya, mereka yang bukan warganegara ini akan mengubah lanskap politik di Sabah. Yang dulunya dominan, kumpulan Kadazandusun akan jadi kumpulan minoriti.

“Ketiganya, risiko keselamatan sebab kalau mereka dengan mudah masuk ke Sabah, tiada tapisan, kita boleh tengok kes Tanduo kedua boleh berlaku. Kumpulan bersenjata datang ke sini sebab di sana (Filipina),  guna senjata adalah perkara  biasa,” katanya.

Parti Warisan yang meletakkan calonnya menentang BN di Kimanis mendakwa kerajaan negeri Sabah hanya meneruskan pelaksanaan PSS yang telah diluluskan oleh kerajaan BN yang lepas.

Peristiwa berdarah pada 2013 menyaksikan lapan anggota polis maut ditembak pengganas Sulu dalam dua kejadian berasingan di Kampung Tanduo, Lahad Datu dan Simunul, Semporna.

Ketika itu, dua anggota polis VAT 69 maut dalam pertempuran dengan kumpulan pengganas yang tercetus di Kampung Tanduo pada 1 Mac 2013 manakala enam anggota cawangan khas mati diserang hendap ketika operasi di Kampung Srijaya, Simunul, Semporna pada keesokannya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button