SUARA Merdeka berkongsi sikap ambil peduli Naib Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin yang membicarakan satu tajuk, “Pen’China’an di Malaysia” disiarkan Ismaweb tiga hari lepas.
Zainur dalam tulisannya membangkitkan ‘concern’ dengan masa depan negara ekoran kedatangan puluhan ribu atau mungkin ratusan ribu warga asing dari Tanah Besar China, yang kini bermastautin di negara Malaysia – seolah-olah tiada sebarang kawalan lagi.
Pen’China’an yang ditimbulkan Zainur perlu diambil serius oleh kepemimpinan politik Melayu. Biarlah dilabelkan rasis atau perkauman, orang Melayu terutama kepimpinannya harus sedar bahawa ia bukan isu Pakatan Harapan (PH) atau isu Barisan Nasional.
Tetapi lebih jauh lagi membabitkan isu keselamatan negara, isu masa depan umat Islam dan bumiputera sebagai rakyat majoriti di negara tercinta.
Ya! benar Malaysia harus kekal sebagai sebuah negara Islam yang adil, maju dan makmur, harmoni dan progresif dengan dominasi Melayu Muslim yang berwibawa sebagai tunjang kepimpinan negara.
Harus dipersoalkan oleh kita umat Melayu, adakah kerana lantaran persoalan bangsa Melayu dalam pelbagai sektor kini rapuh sehingga kepentingan bangsa terpaksa diperjudikan hanya kerana pemimpin-pemimpin terbabit mencanangkan agenda peribadi dalam perlumbaan di pentas politik?
Mungkinkah bukan kerana bangsa Melayu tidak mahu dan tidak mampu bersaing, akan tetapi akibat pemimpin yang tidak jujur dan hanya mementingkan kuasa dan kedudukan daripada soal memperbaiki nasib bangsa Melayu terbanyak, telah menjadikan bangsa Melayu terus berada di pihak yang tersudut?
Mentadbir negara tidak sama seperti bermain congkak. Ia bukan makmal eksperimen untuk diuji cuba.
TERLAMPAU BERPARTI
Masalah besar dihadapi orang Melayu ini apabila berpolitik terlampau sangat berparti. Orang bukan Melayu berpolitik atas nama bangsa dan tahu sasaran mereka, tetapi Melayu, alahai!
Lihatlah berapa banyak parti Melayu yang tumbuh bak cendawan selepas hujan. Daripada UMNO, muncul PKR dan Bersatu. Daripada Pas, muncul Amanah dan Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (Putra).
Akibat kekecohan ketara di saf kepimpinan Melayu dalam pelbagai bidang sama ada kepimpinan politik, ekonomi, sosial, budaya, korporat dan birokrat serta intelektual, kepemimpinan bangsa Melayu telah kehilangan tumpuan dalam memperbaiki nasib bangsa.
Contoh paling paling mudah dan ketara, bangsa lain termasuk pendatang asing bertungkus- lumus menguasai apa sahaja ruang yang diperoleh untuk bertapak kukuh di tanah air ini.
DIKUASAI WARGA ASING
Suatu ketika dilaporkan 50% dari 200,000 hingga 300,000 pekerjaan baharu yang diwujudkan di negara ini dikuasai oleh pendatang asing. Apa sahaja pekerjaan yang ditolak bangsa Melayu akan dikerumuni bangsa lain. Apa sahaja kemahiran yang tidak diendah bangsa Melayu akan dikuasai bangsa lain.
Sepintas lalu sahaja kita dapat melihat kesannya sehingga ke peringkat sektor kecil seperti kedai gunting rambut, tukang kasut, kedai bakeri, bengkel basikal dan motor, pembuat kunci, pembuat bingkai dan pemotong cermin, memperbaiki tayar kereta, kedai foto dan fotostat, pembaik jam, pembuat pembalut kerusi kereta, bengkel besi dan lain-lain telah jauh dikuasai bangsa lain.
Adakah boleh kita persalahkan bangsa lain ketika pemimpin bangsa Melayu sendiri tidak serius untuk memastikan generasi mudanya boleh hidup berdikari? Bolehkah kita menuding jari kepada orang lain jika pemimpin Melayu pula bercakaran sesama sendiri (dari merebut jawatan peringkat bahagian atau cabang sehingga bercita-cita menjadi menteri).
GIMIK
Di samping banyak retorik politik dilaungkan, kita juga menyaksikan tabiat bergimik dalam kepemimpinan yang tidak menguntungkan bangsa Melayu sendiri.
Awlawiyat siyasi (keutamaan politik) mereka bukan untuk perubahan tetapi untuk kantung masing-masing, bukan untuk transformasi bangsa tetapi untuk tengkorok peribadi.
Keputusan Pilihan Raya Ke-14 pada 9 Mei 2018 mempunyai seribu erti yang perlu difikirkan dengan sedalam-dalamnya oleh orang Melayu.
Demikian juga keputusan Pilihan Raya Kecil Tanjung Piai 16 November lalu.
POLITIK CINA
Diyakini, kaum Cina mempunyai mekanisme tersendiri untuk memastikan pada setiap kali PRU. Mereka bersatu untuk mengundi mengikut corak tertentu.
Dengan mekanisme itu, pengundi-pengundi dari kalangan kaum Cina tahu parti mana yang mereka perlu pilih sama ada DAP atau MCA atau Gerakan.
Mereka juga tahu sama ada untuk memilih BN atau PH atau Pas (Gagasan Sejahtera). Pada PRU ke-10 (1999) dan PRU-11 (2004), mereka bersatu mengundi BN.
Kemudian pada PRU ke-12 tahun 2008 dan PRU ke-13 tahun 2013, mereka bersatu pula menolak BN dan mengundi pembangkang. PRU ke-14, BN akhirnya ditumbangkan.
Jarang sekali kita dapati kaum Cina mengundi mengikut corak yang sekata dalam PRU-PRU yang lepas.
Baik Bersatu, UMNO dan Pas, beringatlah. Kita sudah kehilangan Singapura 54 tahun dahulu dan dalam tempoh itu orang-orang Melayu secara tidak langsung `tertindas’ tanpa disedari.
Apabila sudah hilang, tiada harapan lagi untuk kita mendapatkannya semula.
Jangan dalam tempoh akan datang, disebabkan kelekaan Bersatu, UMNO dan Pas membela anak bangsa, orang Melayu yang berpayung di bawah tiga parti utama berteraskan Melayu ini hilang kuasa politik.
Dan sekali gus Melayu kehilangan kuasa tawar-menawar (bargaining power) di tanah air sendiri.
– SUARA MERDEKA