Barcelona jumpa peguam Suarez, selepas keputusan kejam Koeman
LUIS SUAREZ dilaporkan telah diminta meninggalkan Barcelona oleh bos Ronald Koeman, dengan rundingan akan dilakukan bersama peguam pemain Uruguay tersebut berhubung pembatalan kontraknya.
Pemain berusia 33 tahun itu, masih memiliki baki kontrak 12 bulan di Nou Camp, dengan tambahan setahun bersama kelab itu.
Namun, RAC1 melaporkan bahawa Koeman telahpun membuat keputusan terhadap masa depan Suarez, dengan bekas penyerang Liverpool itu tidak berada dalam perancangannya menjelang musim baru La Liga.
Suarez enggan meninggalkan kelab itu, tetapi akan membuat keputusan sama ada dia bakal pergi menerusi perpindahan secara percuma, dengan Koeman menegaskan pemain itu tidak akan mendapat tempat dalam pasukannya.
Warga Belanda itu dikatakan bersedia menyingkirkan beberapa pemain Barca yang berpengalaman dan dibayar gaji mahal, dalam usahanya mengukuhkan kedudukan selaku pengurus, dengan masa depan pemain seperti Sergio Busquets serta Jordi Alba turut menjadi tanda tanya.
Lionel Messi dikaitkan bakal meningalkan Nou Camp, tetapi Koeman mahukan pemain Argentina itu dikekalkan.
“Dia masih memiliki kontrak dan merupakan pemain Barcelona. Saya perlu bercakap dengannya kerana dia adalah ketua pasukan.
“Kami perlu bekerja sama dengannya dan bercakap dengan beberapa pemain lain. Kami perlu membuat beberapa keputusan, tetapi dalam kes Messi saya berharap dia kekal bersama kami.
“Saya tidak tahu sama ada saya perlu yakinkan Messi, ataupun tidak. Dia adalah pemain terbaik di dunia dan sudah tentu anda mahukan dia berada dalam pasukan anda. Anda tidak mahu dia bermain menentang anda.
“Selaku jurulatih, saya bersedia untuk bekerja dengan Messi kerana dia membawa kemenangan kepada pasukan.
“Jika dia berada pada keupayaan tersebut, saya lebih daripada gembira untuk melihat dia kekal bersama kami,” kata Koeman dalam sidang akhbar sewaktu majlis memperkenalkannya sebagai pengurus. – Mirror UK – SM