Bola SepakSukan

Barcelona ditimpa krisis besar, selain isu Messi, berdepan dakwaan rasuah

LIONEL Messi menangguhkan keputusan bagi menentukan masa depannya pada ketika lembaga Barcelona bakal ditimpa masalah lebih besar, apabila laporan media Sepanyol, El Mundo, hari ini mendedahkan tentang dakwaan rasuah yang melibatkan kelab itu.

El Mundo melaporkan bahawa polis Catalan telah memfailkan laporan kepada hakim bagi menyiasat pengambilan konsultan media sosial Barcelona, I3 Ventures yang melaksanakan tugas memantau aktiviti di atas talian kelab, tetapi didapati kemungkinan berlaku jenayah ekonomi.

Dakwaan itu, menurut El Mundo, Barcelona dikatakan telah membayar hingga 600 peratus mengatasi kadar sebenar yang ditetapkan untuk perkhidmatan I3 Ventures yang digunakan untuk memantau media sosial Barcelona.

Hakim penyiasatan akan membuat keputusan sama ada bakal bertindak berdasarkan laporan dan meminta lembaga pengarah Barcelona memberikan keterangan.

Kontroversi melanda Barcelona berkaitan dengan I3 Ventures muncul pada Februari lalu, ketika Cadena Ser melaporkan bahawa syarikat yang diupah untuk memantau media sosial dikaitkan dengan beberapa akaun media sosial yang memuat cerita negatif mengenai pemimpin kelab yang berpotensi menentang presiden, Josep Bartomeu.

Barcelona telah membatalkan kontrak dengan I3 Ventures tidak lama selepas insiden itu berlaku.
Pada Julai, Barcelona telah mendedahkan kepada umum tentang hasil siasatan yang dilakukan oleh syarikat audit, PWC yang memutuskan bahawa mereka tidak melantik I3 Ventures untuk menjalankan kempen memburuk-burukkan pemimpin kelab tertentu.

Hasil audit itu juga mendedahkan bahawa kelab tidak membuat bayaran melebihi daripada harga pasaran untuk perkhidmatan tersebut, tetapi El Mundo melaporkan bahawa polis mempersoalkan tentang pelantikan syarikat audit yang mungkin dibuat oleh pihak berkepentingan, jadi hasil siasatan itu tidak boleh diambil kira.

Dalam perkembangan terbaru melibatkan Barcelona ialah kapten, Messi semakin hampir mengaku kalah terhadap perjuangannya meninggalkan kelab itu bagi menyertai Manchester City, menurut laporan di Argentina.

Barcelona meminta bapa Messi yang juga bertindak selaku ejen pemain itu, Jorge bagi meyakinkan untuk menimbangkan semula percubaannya meninggalkan kelab, pada pertemuan yang berlangsung selama 90 minit dengan presiden Nou Camp, Josep Bartomeu, semalam.

Sama ada kedua-dua pihak bersedia untuk beralah, kebuntuan dijangka berpanjangan, tetapi mesej telahpun disampaikan kepada kapten Barcelona itu dan dia difahamkan bersedia menimbangkan semula keputusannya.

Beberapa media di Argentina, yang terlebih dahulu melaporkan tentang Messi yang telah menghantar permohonan untuk berpindah secara percuma kepada Barcelona menerusi kurier, turut mendedahkan pemain itu 90 peratus akan kekal bersama kelab. – Daily Mail UK – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button