Hiburan

Bara Besi album serampang dua mata kumpulan InHuman

TIGA dekad bukanlah satu tempoh yang sekejap tetapi semangat yang ada dalam diri setiap anggota dalam kumpulan yang menggelar diri mereka sebagai InHuman membuatkan kumpulan yang ditubuhkan di Kuala Lumpur ini tidak mati di tahun 2020.

InHuman merupakan sebuah kumpulan tempatan yang bergerak secara underground. Jadi para peminat muzik underground yang lebih mengenali InHuman manakala penggemar dan pemerhati muzik yang berada dalam kelompok arus perdana, agak tertanya-tanya siapakah InHuman ini.

Mungkin nasib agak tidak menyebelahi kumpulan InHuman ini apabila pita demo yang pernah dihasilkan, tidak kesampain ke ‘tangan-tangan’ yang menentukan corak industri hiburan Malaysia.

InHuman mengakui, mereka sudahpun menghasilkan beberapa lagu sendiri tetapi apa yang diakui oleh mereka, hanya berlegar di udara.

InHuman enggan mengaku kalah walaupun melihatkan kepada lakaran peta industri muzik Malaysia, pemain-pemainnya adalah yang mempunyai ratusan ribu malah jutaan pengikut di Instagram, kuat di Facebook dan tular di media sosial.

Bakat nyanyian yang sebenar, kemampuan boleh menyanyi secara live dengan baik dan yang amat penting, menyanyi dengan nada suara tidak sumbang, tidak lagi dipandang dan menjadi keutamaan ciri-ciri yang ada dalam diri individu yang mahu bergelar penyanyi.

Jadi, InHuman yakin untuk terus hidup dalam bidang seni suara Malaysia dengan melahirkan album pertama mereka berjudul Bara Besi di bawah label Rock Stage Entertainment (RSE).

Siapakah anggota yang membarisi kumpulan InHuman ini?

Mereka terdiri daripada Fen Malique (gitar/vokal) dan Ishan Yusof (gitar), Shafie Ahmad (dram) dan Zamri Saleh (bass).

Kata Fen, album Bara Besi sangat istimewa bagi mereka kerana ia terhasil selepas 30 tahun kumpulan InHuman ini ditubuhkan dan sudah pasti, segala pengalaman dan kemampuan mereka curahkan sepenuhnya untuk menghasilkan sesuatu yang terbaik buat pendengar.

“Ada ketikanya kami merasa seperti tidak ada peluang lagi untuk kami tampil dengan karya-karya sendiri tetapi apabila mengenang semula perjalanan panjang InHuman yang pernah terhenti satu ketika dahulu, kami bangkit bersemangat.

“Oleh itu, tiada siapa pun menjangka, peluang itu datang di penghujung usia begini. Memang bukan mudah bagi kami untuk meletakkan nama InHuman pada ‘carta mata peminat’ yang lebih cenderung kepada penyanyi komersial, muda dan viral namun kami  percaya, ia bukanlah sesuatu perkara yang mustahil untuk dicapai oleh InHuman,” ujarnya.

Maka itulah, bagi artis berkumpulan yang rata-rata berusia 40-an dan sudah berkeluarga, komitmen terhadap bidang muzik yang dilakukan, dilihat lebih serius ditangan mereka.

Sedikit sejarah perjalanan kumpulan InHuman yang ditubuhkan pada tahun 1991 tetapi kehadiran mereka tidak pernah diketahui, Fen membuka cerita.

“InHuman melalui beberapa fasa sejak awal penubuhannya yang mana proses peralihan ini menyebabkan kerja-kerja menghasilkan album terbantut.

“Sekitar tahun 1990 sehingga 1995 adalah fasa di mana kami belajar dan mendalami dunia muzik berat.

“Tempoh itu kami belajar bermain lagu-lagu daripada kumpulan-kumpulan idola kami seperti Slayer, Sepultura, Metallica, Kreator, Sodom, Death, Cancer dan Pantera (sekadar menyebut beberapa nama artis berkumpulan).

“Tahun 1993, itulah tahunnya kami mula berjinak-jinak bermain dalam beberapa siri gig sekitar Kuala Lumpur, Ipoh, Perak dan Bandar Pusat Jengka, Pahang tapi itu hanyalah sebahagian daripada lipatan sejarah penglibatan kami dalam muzik metal khususnya dunia underground disebabkan ia terhenti di situ,” kata Fen panjang lebar.

Fasa kedua iaitu 1995-2015 adalah fasa ‘kematian’ bagi InHuman kerana semua anggota dalam kumpulan berpecah membawa haluan masing-masing.

Menurut pemuzik yang berasal dan kini menetap di Felda Tenang, Labis, Johor ini, fasa ketiga bermula dari tahun 2015 sehingga sekarang adalah fasa ‘kebangkitan’ yang mereka namakan ‘InHuman Resurrection’.

Rentetan daripada situlah, kata Fen, menyaksikan kemunculan semula InHuman dengan melahirkan album mini atau EP pertama berjudul ‘Awakened At World’s End’.

Kepada peminat muzik metal berat khususnya, Bara Besi ini adalah yang teristimewa untuk halwa telinga anda.

Album ini menampilkan keunikannya yang tersendiri kerana judul albumnya dalam bahasa Melayu,  semua lirik adalah dalam bahasa Inggeris, kata Fen.

“Sebabnya mudah. Kami mahu InHuman dikenali sebagai artis berkumpulan dari Malaysia walau ke mana pun album ini akan ‘terbang’ atau dipasarkan nanti.

“Kedua, ia melambangkan semangat kami yang kental. Walaupun apinya tidak kelihatan, kehangatannya tetap membara…bagai bara besi,” kata Fen Malique.

Sempena dengan pelancaran album Bara Besi yang bakal diadakan di My Studio Bukit Rahman Putra, Sungai Buloh, Selangor pada 21 Mac ini, satu persembahan berbayar akan diadakan pada sebelah malam.

Kumpulan Kobra, Puakerysm, Bloodbrothers, Secret Agenda dan Ironman turut tampil pada malam persembahan nanti dan untuk maklumat lanjut, boleh hubungi 012-2937976 (RSE). – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button