Rencah Hidup

Bapa terkilan hilang anak, menangis setiap hari hingga hampir kehilangan suara

KASIH ibu berkekalan hingga ke syurga, kasih bapa kekal sepanjang masa.

Ibu bapa mana sanggup melihat anak yang dibesar mereka dengan penuh kasih sayang pergi meninggalkan dunia sebelum mereka dan itulah yang terjadi kepada seorang bapa yang cukup pilu berdepan dengan kematian anaknya pada tiga April tahun lalu.

Melalui satu video tular di Tik Tok, seorang bapa, Hosen Samur, 65, dilihat menangis ketika mengenangkan pemergian anak perempuannya, Sulistutina akibat kanser usus tahap empat.

Video tersebut meraih satu juta tontonan selepas dikongsi oleh Khairun Nizam, 30, anak ketiganya pada Sabtu.

Menurut laporan mStar, Khairun Nizam yang mesra disapa Lejam mendedahkan fasa enam bulan pertama pemergian arwah kakaknya yang memberi kesan mendalam kepada keluarga mereka terutamanya bapa mereka.

“Saya terkejut apabila video ini mendapat hampir sejuta tontonan dalam masa kurang 24 jam dan saya ingin berkongsi mengenai situasi sukar yang dialami oleh kami tahun lepas.

“Ini merupakan kematian pertama dalam keluarga kami dan kami memang berduka, tambahan pula keluarga kami kecil saja.

“Palinh terkesan tentunya abah, hari-hari dia menangis. Bukan meratapi kerana sebenarnya dia kuat, cuma dia sedih sebab teringat semua kenangan.

“Abah akan pegi ke kubur kakak dua kali sehari, setiap hari. Dalam enam bulan pertama, hari-hari dia menangis,” ujarnya.

Tambah Lejam lagi, keadaan itu ternyata menjejaskan kesihatan bapanya sehingga perlu dibawa untuk menerima rawatan dan bapanya juga mungkin perit menerimapemergian itu kerana sering berdepan dengan kematian insan tersayang dalam hidupnya.

“Pada umur 65 tahun, abah dah lalui banyak pengalaman berdepan kematian dalam hidupnya. Abah ada adik kembar yang meninggal pada tahun 2012.

“Kemudian emak dan bapanya pula. Bila kakak meninggal pada usia 34 pada tahun lepas, ini sekali lagi memberi kesan mendalam kepadanya.

“Perlahan-lahan suara abah hilang sebab menangis setiap hari selepas kematian kakak dan dia juag terpaksa diberi ubat supaya tidak depresi.

“Umi saya pun sedih tapi orang kata dalam pasangan tidak boleh dua-dua sedih, jadi bila situasi macam ini, umi mainkan peranan untuk tunjuk kuat,” katanya.

Lejam memberitahu bahawa kakaknya didiagnos menghidap penyakit kanser usus itu pada akhir tahun 2017.

Pemergian kakaknya meninggal seorang anak perempuan berusia tujuh tahun yang kini menjadi penguat semangat untuk Lejam sekeluarga.

Sulistutina meninggalkan seorang anak perempuan berusia tujuh tahun

“Situasi saya macam abah, tak boleh sorok perasaan sedih. Saya nangis di hadapan keluarga, bukan meratapi cuma belum puas lagi meluangkan masa dengan arwah.

“Tapi di depan anak perempuan arwah, saya kuat sebab anak dia pun faham apa yang berlaku. Abah dah beransur pulih, cuma bila ada keraian seperti hari lahir dan hari raya, mesti dia akan menangis,” ucapnya.

Dalam pada itu, kakaknya mengetahui bahawa dia menghidap kanser itu ketika penyakit tersebut sudah memasuki tahap keempat, namun berjaya bertahan sehingga tiga tahun walaupun doktor memaklumkan kakaknya hanya ada masa tidak sampai setahun, sebelum menghembuskan nafas terakhir pada tahun lalu

“Arwah tahu ada kanser ketika dah masuk tahap empat. Doktor kata dia ada masa tak sampai setahun, tapi disebabkan semangatnya, arwah bertahan selama tiga tahun.

“Jadi, video itu juga, saya nak bagi semangat kepada pejuang kanser agar terus bersemangat melawan penyakit,” katanya.

Lejam turut memberi nasihat kepada orang ramai untuk melakukan pemeriksaan kesihata secara berkala dan peka dengan kesihatan diri.

“Saya nak ingatkan kepada orang di luar sana agar membuat pemeriksaan kesihatan sekurang-kurangnya enam bulan atau setahun sekali,” pesannya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button