Hiburan

Banyak kematian mengejut buat Lisdawati jadi takut hingga mengalir air mata

SEJAK akhir-akhir ini, saban hari berita kematian tular di laman sosial terutamanya melibatkan penggiat seni sama ada yang masih muda atau pun veteran.

Mengakui dirinya terkejut melihat kematian yang boleh berlaku pada bila-bila masa membuatkan pelakon, Lisdawati menangis mengenangkan perkara itu.

“Setiap hari saya baca cerita mengenai orang meninggal dunia. Ada yang meninggal dalam tidur, ada yang kerana kemalangan.

“Perkara itu buat saya rasa begitu hiba sebab bila-bila masa sahaja kita boleh meninggal dunia.

“Sebab itu saya, setiap hari saya akan pesan pada anak-anak bila saya tiada lagi, mereka perlu bersedia. Saya risau mereka tak boleh terima,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas mengenai perhubungannya bersama suami, Fauzi Nawawi, dia bersyukur kerana perhubungan mereka berada dalam keadaan yang baik.

Jelasnya, dalam perkahwinan memang ada ujian dan masing-masing perlu memainkan peranan untuk mencari jalan penyelesaian.

“Macam apa yang saya selalu buat, dalam setiap dugaan melibatkan perhubungan, saya akan cari salah saya dahulu.

“Sebab selepas itu barulah kita boleh berbincang dan selesaikan masalah dengan komunikasi yang baik,” katanya.

Menurut Lisdawati, dalam setiap masalah yang kita hadapi, mesti perlu seseorang yang boleh jadi tempat untuk mengadu.

“Macam saya kalau tidak dapat mengadu dengan seseorang yang lebih dekat, saya akan mengadu dengan Allah.

“Kadang-kadang bila kita mengadu pada Allah, saya akan menangis dan perasaan itu datang secara tiba-tiba,” jelasnya.

Tambahnya, setiap kali dia memilih untuk mengadu dengan Allah, pasti dirinya akan berasa tenang dan mampu menyelesaikan sebarang masalah dengan baik. -SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button