Nasional

Bantuan e-rebat RM500 untuk pembelian peralatan elektrik domestik

MENTERI Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, dalam sidang media telah mengumumkan mengenai Program Bantuan Banjir Keluarga Malaysia untuk Pembelian Peralatan Elektrik Domestik Kepada Mangsa Banjir Yang Terkesan.

Takiyuddin berkata, bantuan Pembelian Peralatan Elektrik Domestik sebanyak RM500 dalam bentuk e-rebat ini bertujuan untuk meringankan beban kepada pengguna elektrik domestik yang terkesan untuk membuat pembelian peralatan elektrik bagi menggantikan peralatan yang rosak.

“Pelaksanaannya akan menggunakan platform dan mekanisme Program Sustainability Achieved Via Energy Efficiency (SAVE) yang diselaraskan oleh Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA Malaysia),” katanya.

Jelasnya lagi, bantuan khas ini dikhususkan kepada warganegara Malaysia yang berdaftar sebagai pengguna/pemilik akaun elektrik (domestik) dengan syarikat utiliti elektrik, rumah kediaman yang terkesan oleh banjir dan tersenarai sebagai Mangsa Bencana yang disahkan oleh Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB).

“Melalui bantuan ini, setiap rumah kediaman pengguna/pemilik akaun elektrik berdaftar (domestik) yang layak boleh memohon dan mendapatkan e-rebat bernilai RM500 semasa membuat pembelian sama ada secara fizikal di kedai dan pasaraya yang berdaftar atau di platform e-dagang yang diiktiraf di bawah Program SAVE.

“Pemberian bantuan ini hanya untuk 15 peralatan elektrik domestik yang disenaraikan, tidak terikat kepada syarat label cekap tenaga dan perlu mematuhi piawaian keselamatan elektrik. Walau bagaimanapun, pengguna digalakkan membeli peralatan elektrik berlabel cekap tenaga,” katanya.

Sebagai info, 15 peralatan elektrik domestik tersebut adalah seperti berikut:

  1. Peti sejuk
  2. Mesin basuh
  3. Kipas
  4. Lampu
  5. Periuk nasi
  6. Televisyen
  7. Seterika
  8. Ketuhar elektrik
  9. Blender
  10. Cerek elektrik
  11. Penyedut hampagas
  12. Dapur elektrik
  13. Ketuhar gelombang mikro
  14. Penyejuk beku (freezer)
  15. Penghawa dingin

Dalam pada itu, pembelian barangan program itu akan bermula pada hari ini dan untuk maklumat lanjut, pemohon boleh merujuk ke laman sesawang di pautan http:/www.seda.gov.my/bantuan. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button