Bank Rakyat terus komited bantu masyarakat menerusi inisiatif baktiRAKYAT
BANK RAKYAT meneruskan aktiviti kesukarelawanan menerusi program BaktiRAKYAT Rewang Ramadan dengan bergotong-royong menyediakan 1,600 pek juadah sahur di sekitar Kuala Lumpur pada Jumaat lalu.
Menurut Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi/Menanggung Tugas Ketua, Pengurusan Pengalaman Pelanggan Bank Rakyat, Nizam Sani, seiring dengan program ‘Rindunya Ramadan’ pada tahun ini, program BaktiRAKYAT Rewang Ramadan bukan sahaja bertujuan untuk mengimarahkan sambutan bulan Ramadan dengan berkongsi rezeki malah sebagai cara Bank mendekati dan mengeratkan hubungan silaturahim dengan komuniti setempat khususnya golongan yang memerlukan.
“Program Rewang Ramadan di PPR Seri Alam Fasa 2 ini juga merupakan inisiatif sukarelawan keempat dilaksanakan oleh Bank selepas mengadakan Program Penambahbaikan Prasarana dan Keceriaan di Madrasah Waqaf Islamiah Sabah (MAWIS) pada Mac lalu,” ujar beliau.
Program gotong-royong bagi penyediaan juadah sahur ini bermula seawal jam 9.00 malam dengan melibatkan seramai lebih 70 sukarelawan Bank Rakyat yang diketuai oleh tukang masak daripada Hotel Le Méridien, Kuala Lumpur, Ammrizan Yaacob bertempat di Kawasan Rukun Tetangga, Projek Perumahan Rakyat (PPR) Seri Alam Fasa 2.
Pek juadah sahur tersebut diagihkan kepada orang ramai bermula jam 12.00 tengah malam sehingga 2.00 pagi di sekitar PPR Seri Alam Fasa 2 dan PPR Kampung Limau, Jalan Pantai Dalam, Kuala Lumpur.
Program ini juga telah disempurnakan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bank Rakyat termasuk Ketua Pegawai Risiko, Ahmad Shukri Abd Rahman, Ketua Pegawai Perbendaharaan, Amren Faisal Fadzil, Ketua Pegawai Pemasaran dan Komunikasi/Menanggung Tugas Ketua, Pengurusan Pengalaman Pelanggan Bank Rakyat, Nizam Sani dan Ketua Pegawai Perbankan Runcit, Zulkarnain Taman.
Mengulas lanjut beliau berkata, Bank Rakyat sentiasa berusaha untuk menyumbangkan impak kelestarian yang positif melalui pelbagai pelaksanaan program kesukarelawanan, bertepatan dengan aspirasi ‘Keluarga Malaysia’ bagi membantu kehidupan masyarakat yang kini berdepan dengan pelbagai cabaran susulan penularan pandemik COVID-19.
“Inisiatif ini juga yang mana seiring dengan aspirasi Rangka Tindakan Kelestarian yang dirangka menerusi pelan strategik Bank Rakyat 2025 (BR25) bertujuan untuk mengutamakan keseimbangan antara operasi perniagaan dan tanggungjawab Bank terhadap komuniti, alam sekitar dan infrastruktur serta kemudahan awam dengan melibatkan semua warga kerjanya bagi menjamin kelangsungan kehidupan yang lebih baik pada masa hadapan,” tambah beliau.
BaktiRAKYAT melaksanakan projek rintisnya yang diadakan secara serentak di empat negeri pada 11 Disember 2021 melibatkan Program Bumi Hijau Peringkat Negeri Perak dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Negeri Perak di Hutan Simpan Chikus, Perak dan Program Jalinan Ukhuwah Sekolahku Ceriaku di Sekolah Rendah Agama Islam At-Takwa di Temerloh, Pahang.
Manakala, Program Penanaman Benih Bakau di Hutan Simpan Tg. Tuan, Pontian, Johor dan Program Pembersihan Pantai di Padang Point, Pulau Gaya, Kota Kinabalu, Sabah.
Pada Januari lalu, BaktiRAKYAT melaksanakan Program Pemeliharaan dan Keceriaan di kawasan Pusat Konservasi dan Penerangan Penyu, Pengkalan Balak, Masjid Tanah, Melaka melibatkan aktiviti seperti membersihkan kawasan penetasan penyu dan menanam pokok Apung.
Selain itu, BaktiRAKYAT juga melaksanakan aktiviti penanaman dan pemuliharaan anak pokok cengal di Institut Penyelidikan Perhutanan Malaysia (FRIM), Kepong, Selangor.
“Setakat ini, BaktiRAKYAT berjaya mengumpul sebanyak 1,464 jam khidmat sukarela (volunteerism hours) termasuk program Rintis BaktiRAKYAT pada Disember 2021 dan menyasarkan untuk mencapai 23,000 jam khidmat sukarela menjelang Disember tahun ini dengan sekurang-kurangnya satu program kesukarelawanan diadakan pada setiap bulan,” katanya. – SM
Baca artikel ini juga > Bank Rakyat edar 6,000 bubur lambuk sekitar Bangsar