fbpx
Nasional

Bank Rakyat tawar penangguhan sementara pembiayaan pelanggan terjejas wabak koronavirus

BANK Rakyat mengambil inisiatif untuk membantu pelanggan yang menghadapi isu kewangan akibat wabak novel koronavirus dengan menawarkan penangguhan sementara terhadap pembiayaan mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Dato’ Rosman Mohamed berkata para pelanggan perlu tampil mendapatkan bantuan di mana-mana cawangan Bank Rakyat agar Bank dapat membantu menangani masalah kewangan yang dihadapi bagi memastikan kelangsungan terhadap perniagaan mereka.

“Kami menyedari bahawa sesetengah pelanggan terutamanya mereka yang berada dalam industri keusahawanan dan koperasi mungkin terjejas disebabkan oleh jenis perniagaan yang memerlukan mereka untuk pergi ke negara yang dianggap berisiko tinggi disebabkan oleh penularan novel koronavirus,” kata Dato’ Rosman.

“Sehubungan dengan itu, kami berharap agar inisiatif ini dapat membantu mengurangkan kesan kewangan akibat penularan wabak tersebut.

Inisiatif ini juga merupakan sebahagian daripada usaha kami untuk memastikan kelestarian terhadap pembiayaan pelanggan kami dengan menguruskannya secara berkesan sejajar dengan status kami sebagai agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC),” katanya.


“Kami menghargai hubungan jangka panjang dengan para pelanggan kami dan sentiasa berkerja rapat dengan mereka untuk menyokong keperluan kewangan mereka dalam pelbagai situasi yang berbeza.

“Ini merupakan waktu yang mencabar bagi komuniti dan ekonomi global. Kami sentiasa memikirkan mereka yang terjejas akibat penularan koronavirus ini,” katanya.

Untuk sebarang maklumat atau bantuan, pelanggan boleh menghubungi Pusat Panggilan tele-Rakyat di talian 1-300-80-5454 atau kunjungi cawangan berdekatan.

(Visited 4 times, 2 visits today)

Show More

Related Articles

Back to top button