Bank Rakyat salur RM83,000, bantu tingkat ekonomi penduduk luar bandar melalui Jāriah Al-Barakah
BANK RAKYAT baru-baru ini menyerahkan sumbangan keseluruhan berjumlah RM83,000 menerusi platform Jāriah Al-Barakah bagi membantu meningkatkan produktiviti ekonomi penduduk dan memperkasa usahawan luar bandar di Pulau Ketam, Kuala Perlis.
Bank Rakyat dalam satu kenyataan berkata, inisiatif ini bertepatan dengan konsep Malaysia Madani bagi membantu membina masyarakat yang progresif dan inklusif dengan memberi penekanan terhadap inisiatif pembangunan ekonomi yang dinamik yang mana setiap golongan masyarakat diberikan akses dan kemudahan yang setara (equal) untuk mencapai pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan secara keseluruhan.
Menerusi inisiatif ini, Jāriah Al-Barakah Bank Rakyat menyerahkan sumbangan sebanyak RM48,000 bagi pembelian teknologi Solar Dome Dryer atau Kubah Pengering Solar.
Inisiatif ini merupakan kerjasama strategik antara Bank Rakyat, ASNB Wakalah Sdn. Bhd. (AWSB) bersama-sama dengan Association of Islamic Banking and Financial Institutions Malaysia (AIBIM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bagi mendukung inisiatif myWakaf dalam memberi fokus terhadap penyediaan kemudahan teknologi untuk memacu ekonomi masyarakat, khususnya dalam sektor perikanan.
Kemudahan teknologi ini mempercepatkan proses pengeringan hasil laut dengan lebih bersih dan tidak terdedah kepada ketidaktentuan cuaca berbanding dengan cara pemprosesan tradisional yang memakan masa beberapa hari untuk menghasilkan makanan alternatif seperti ikan masin.
Selain itu, Bank Rakyat juga menyerahkan sumbangan zakat sebanyak RM35,000 untuk bantuan ASNAFPRENEUR dalam mengurus dan menjayakan projek Wakaf Solar Dome Dryer. ASNAFPRENEUR merupakan salah satu inisiatif Bank dalam membantu usahawan asnaf yang berpotensi untuk mengembangkan lagi perniagaan mereka.
Menerusi projek ini juga, lapan usahawan asnaf akan diberi latihan pengurusan dan pemprosesan ikan kering selama dua hari serta sesi pemantauan, bimbingan dan motivasi oleh pekerja am yang dilantik selama setahun.
Sementara itu, Bank Rakyat turut menyalurkan bantuan zakat sebanyak RM10,000 kepada Masjid Saidina Abu Bakar As-Siddiq Seberang Ramai, Kuala Perlis bagi tujuan mengimarahkan masjid dengan pelbagai program atau aktiviti yang bermanfaat kepada masyarakat.
Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail hadir bagi menyempurnakan Majlis Perasmian Projek Wakaf Solar Dome Dryer. Turut hadir Pengarah Wilayah Utara, Bank Rakyat, Tuan Syed Nasser Hussain b. Syed Othman Ali, dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Haji Mohd Noor.
Jāriah Al-Barakah merupakan platform yang menggalakkan masyarakat untuk mengerjakan amalan bersedekah demi kesejahteraan bersama.
Hasil kutipan yang diperoleh akan dilaburkan dan kemudiannya keuntungan pelaburan tersebut disalurkan untuk pembangunan sektor pendidikan, kesihatan dan pemerkasaan ekonomi masyarakat.
Mereka yang berhasrat untuk menyumbang boleh berbuat demikian dengan menggunakan medium perbankan dalam talian menerusi akaun Surau Al-Barakah (Jāriah Al-Barakah), 11-0146-412-2 (Bank Rakyat) atau Perkhidmatan JomPay (Biller Code: 26492) atau imbas kod QR DuitNow seperti berikut:
Artikel berkaitan > Bank Rakyat santuni golongan asnaf di sekitar Sungai Buloh