Ekonomi

Bank Negara, MYSA jalin kerjasama strategik perkasa ekosistem kewangan

AGENSI Angkasa Malaysia (MYSA), sebuah jabatan persekutuan di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) telah menandatangani satu Memorandum Persefahaman kerjasama strategik
dengan Bank Negara Malaysia (BNM).

Kerjasama ini merupakan kesinambungan daripada kerjasama strategik yang telah dimulakan sejak tahun 2017 dan hasil kejayaan pembangunan sistem aplikasi GIS Bank Negara Malaysia (BNM Geospatial System).

Sistem aplikasi ini berteraskan teknologi geospatial angkasa dan teknologi-teknologi lain yang berkaitan, telah berjaya dibangunkan dan dioperasikan bagi tujuan pemantauan taburan pusat akses perkhidmatan kewangan di seluruh negara dengan lebih cekap dan berkesan.

Penggunaan teknologi angkasa dalam tadbir urus BNM ini antaranya dapat mengenal pasti kawasan yang tidak mendapat akses kepada perkhidmatan kewangan.

Selain itu, teknologi ini juga dapat mengenal pasti kawasan yang perlu diberikan tumpuan bagi inisiatif Bank Bergerak di bawah program Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulih Ekonomi (PEMULIH) dan mengenal pasti aktiviti ekonomi sesebuah kawasan bagi tujuan menaik taraf rangkuman kewangan, membantu pihak bank komersial merancang strategi bagi membuka cawangan, melantik ejen, menempatkan mesin terminal layan diri (SST) serta analisa maklumat sesebuah kawasan sebelum diberikan kebenaran untuk membuka atau menutup cawangan bank.

Melalui pemeteraian Memorandum Persefahaman ini, kedua-dua pihak bersetuju untuk memperkasakan dan memperluaskan lagi fungsi sistem aplikasi berkenaan.

Ini termasuk modul tambahan yang akan dilaksanakan bagi  penambahbaikan sistem aplikasi yang meliputi aspek pengurusan, perancangan dan pemantauan aset BNM selain akan diperluaskan penggunaannya kepada bank-bank lain di seluruh Malaysia serta pihak-pihak lain yang berkepentingan menerusi seliaan BNM.

Ketua Pengarah MYSA,  Azlikamil Napiah dalam ucapannya menyatakan bahawa melalui perancangan yang betul, aspek inovasi ekonomi Madani berteraskan teknologi angkasa dilihat berpotensi untuk meningkatkan produktiviti dan penyampaian perkhidmatan perbankan menerusi kepakaran penyelidik Kerajaan khususnya di MYSA dalam membangun sistem aplikasi serta menyediakan penyelesaian menyeluruh menerusi penggunaan
teknologi angkasa.

“Pembaharuan kerjasama ini diharap dapat meluaskan lagi manfaat sistem aplikasi berkenaan disamping memperkasa jaringan perkongsian maklumat geospatial dan meningkatkan kompetensi pegawai kedua-dua pihak melalui program latihan serta pemindahan teknologi,” jelas beliau.

Jalinan kerjasama strategik ini juga adalah seiring dengan komitmen MYSA dalam menerajui pelaksanaan Dasar Angkasa Negara 2030 (DAN2030) serta selaras dengan Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara (DSTIN) yang diterajui oleh MOSTI dalam mencapai objektif Teras Strategik Menggiat dan Mencergaskan Industri dalam meningkatkan kerjasama dan perkongsian infrastruktur serta teknologi moden sektor angkasa kepada pihak industri. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button