Ekonomi

Bank Negara Malaysia dan National Bank of Cambodia perkukuh kerjasama

Bank Negara Malaysia (BNM) dan National Bank of Cambodia (NBC) telah menandatangani Memorandum Persefahaman (Memorandum of Understanding, MoU) untuk memperkukuh kerjasama dalam inovasi kewangan dan pembayaran.

Pertukaran MoU antara Gabenor BNM Abdul Rasheed Ghaffour dengan Gabenor NBC Chea Serey ini telah disaksikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Kerajaan Kemboja, Samdech Moha Borvor Thipadei Hun Manet.

Bank Negara dalam kenyataan berkata, MoU itu akan menggalakkan kerjasama yang lebih erat antara BNM dengan NBC bagi memacu inovasi kewangan dan memastikan pembayaran rentas sempadan yang lebih cekap dan selamat demi manfaat individu dan perniagaan di kedua-dua negara.

“Hal ini termasuk menghubungkan sistem pembayaran domestik di Malaysia dan Kemboja untuk membolehkan
pembayaran QR rentas sempadan.

“Kerjasama ini juga bertujuan untuk menggalakkan penggunaan penyelesaian pembayaran dalam mata wang
tempatan serta menyokong penubuhan mekanisme pengawasan bersama (cooperative oversight mechanism) untuk pembayaran rentas sempadan yang lebih selamat,” demikian menurut kenyataan itu.

MoU ini menandakan satu lagi pencapaian penting dalam inisiatif ASEAN Regional Payment Connectivity dan juga sejajar dengan Pelan Hala Tuju G20 untuk mempertingkatkan kecekapan pembayaran rentas sempadan.

Pencapaian ini seterusnya akan memudahkan aktiviti perdagangan dan pelancongan rentas sempadan antara Malaysia dengan Kemboja.

Sehingga lima juta peniaga, termasuk perniagaan kecil, yang menerima pembayaran QR di kedua-dua negara dijangka mendapat manfaat daripada kerjasama ini.

Gabenor BNM, Abdul Rasheed Ghaffour berkata: “MoU ini menandakan komitmen kedua-dua negara untuk mempertingkatkan pembayaran rentas sempadan dan penyelesaian pembayaran dalam mata wang tempatan.
Kerjasama ini akan mengukuhkan lagi kerjasama kami dengan NBC yang telah lama wujud demi manfaat bersama individu dan perniagaan di kedua-dua negara. Hal ini juga memberikan dorongan untuk memacu inovasi yang lebih meluas dan memperkukuh integrasi kewangan dalam menyokong pembangunan ekonomi serantau.”

Gabenor NBC, Chea Serey berkata: “Peristiwa pada hari ini merupakan satu langkah penting dalam mempertingkatkan kerjasama antara bank pusat kami. Menerusi MoU ini, NBC dan BNM akan bekerjasama untuk  memacu inovasi kewangan dan menambah baik sistem pembayaran kod QR rentas sempadan bagi merangsang aktiviti perdagangan dan rangkuman kewangan di kedua-dua negara serta menggalakkan penggunaan mata wang tempatan sejajar dengan objektif ASEAN.” – SM

(Visited 21 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button