Nasional

Bank Negara cari solusi sementara isu kenaikan insurans perubatan – Tze Tzin

DALAM pertemuan dengan para ahli parlimen, Bank Negara memberi jaminan isu kenaikan premium insurans perubatan akan ditangani oleh Bank Negara Malaysia (BNM) yang mengawal selia syarikat insurans.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin berkata, BNM berjanji akan mencari solusi bersifat sementara kepada isu kenaikan premium insurans perubatan tersebut.

Menurutnya, beliau telah menghadiri sesi Pembentangan Mengenai Inflasi Kos Perubatan dan Penentuan Semula Harga Insurans dan Takaful Perubatan serta Kesihatan pagi tadi dan mendapat jaminan berkenaan.

“(Dalam pertemuan) kerajaan menjelaskan beberapa faktor kenaikan premium, antaranya seperti peningkatan NCD dalam kalangan rakyat, demografi masyarakat menua, kemajuan teknologi perkhidmatan kesihatan dan juga gaji tenaga.
“Kami Kelab Penyokong Kerajaan (BBC) berterima kasih kepada YB MK2 dan Gabenor Bank Negara Malaysia kerana sudi hadir dan memberi taklimat kepada kami,” katanya menerusi satu kenyataan di Facebook, hari ini.

Sebelum itu ketika sesi Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, BNM dengan kerjasama Perbendaharaan dan Kementerian Kesihatan (KKM) sedang meneliti kenaikan premium insurans perubatan dan satu garis panduan tegas akan dikeluarkan.

Anwar memberitahu, garis panduan tersebut dikeluarkan agar produk insurans dan takaful perubatan dan kesihatan (MHIT) serta pengendali takaful (ITO) mengambil kira beberapa hal.
”Walau bagaimanapun, pihak KKM bersama BNM sedang menyelaraskan supaya kenaikan itu dianggap munasabah dan tidak membebankan.
”BNM dan KKM akan menentukan ada kawalan supaya kenaikan itu tidak terlalu tinggi dan akan menimbulkan banyak masalah kepada pesakit serta masalah kepada peningkatan inflasi,” katanya.

Untuk rekod, Sim Tze Tzin merupakan Ahli Parlimen penyokong kerajaan yang lantang membangkitkan isu caj perubatan di hospital swasta yang amat tinggi terutama ke atas pesakit yang mempunyai insurans perubatan di Dewan Rakyat sejak sebulan lalu.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button