Ekonomi

RM254.7 bilion pelaburan direkodkan sembilan bulan pertama 2024

MALAYSIA menerima jumlah keseluruhan pelaburan diluluskan yang meningkat sebanyak 10.7 peratus dalam tempoh sembilan bulan pertama tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, jumlah keseluruhan pelaburan yang diluluskan adalah bernilai RM254.7 bilion.
Katanya, ia melibatkan 4,753 projek berkaitan pelbagai sektor ekonomi yang dijangka menjana sejumlah 159,347 peluang pekerjaan baharu.

“Perkara itu dimaklumkan sewaktu saya mempengerusikan Mesyuarat Majlis Pelaburan Negara (MPN) Bilangan 8 Tahun 2024 terkait soal prestasi pelaburan,” katanya menerusi hantaran di laman X.

Anwar yang juga Menteri Kewangan sementara itu menjelaskan, bagi tempoh sama tahun lalu, Malaysia meraih nilai pelaburan diluluskan sebanyak RM230.2 bilion.

Sementara itu menerusi hantaran sama Anwar memberitahu, mesyuarat tersebut telah bersetuju dan mengesahkan Garis Panduan bagi Pembangunan Pusat Data Mampan yang mengandungi metrik kecekapan Keberkesanan Penggunaan Tenaga (PUE) dan Keberkesanan Penggunaan Air (WUE).

Garis panduan tersebut jelasnya akan diguna pakai sebagai syarat kelayakan insentif cukai di bawah Skim Pecutan Ekosistem Digital (DESAC) yang merupakan inisiatif penambahbaikan polisi terkait usaha memacu pelaburan pusat data.
“Kerajaan MADANI berterusan menambah baik dasar sedia ada dan mewujudkan dasar baharu sebagai langkah meningkatkan daya saing negara,” kata Anwar. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button