Ekonomi

Bank Muamalat tawar bantuan bayaran kepada kumpulan sasar

BANK Muamalat Malaysia Bhd. akan menyediakan bantuan bayaran bersasar bagi pelanggan yang berkemungkinan menghadapi kesukaran meneruskan bayaran pembiayaan mereka selepas tempoh moratorium berakhir pada 30 September, 2020.

Bantuan bayaran bersasar ini disediakan untuk pelanggan dalam dua kategori terjejas, kata bank itu dalam satu kenyataan.

“Bagi individu yang kehilangan pekerjaan pada tahun 2020 dan masih belum mendapat pekerjaan baharu, mereka akan  diberikan moratorium lanjutan bersasar untuk tempoh tiga bulan bermula 1 Oktober.

“Bagi individu yang masih bekerja tetapi gaji mereka terjejas atau berkurangan, bayaran ansuran mereka akan dikurangkan selaras dengan kadar pengurangan gaji, bergantung kepada jenis pembiayaan, untuk tempoh enam bulan, bermula 1 Oktober,” katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata bantuan bayaran bersasar ini sejajar dengan inisiatif bantuan COVID-19 yang diperluas oleh kerajaan seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri baru-baru ini.

“Bank Muamalat telah menghubungi semua pelanggannya melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dan pelbagai platform media sosial untuk memastikan pelanggannya menyedari tentang bantuan bayaran yang disediakan oleh pihak Bank,” tambah Khairul.

Bank itu berkata untuk pelanggan lain yang terjejas tetapi tidak termasuk dalam kategori terjejas, bantuan bayaran disediakan berdasarkan kes demi kes.

Pelanggan Bank Muamalat yang memerlukan keterangan lanjut mengenai bantuan bayaran bersasar dinasihati mengunjungi cawangan Bank Muamalat terdekat atau hubungi kami di talian + 603-2600 5500 atau layari laman sesawang di www.muamalat.com.my.

Bank turut menyarankan pelanggan agar merujuk kepada Soalan Lazim Bantuan Bayaran Pasca Moratorium dan menghantar borang permohonan. – BERNAMA

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button