Nasional

Bank Dunia unjur KDNK Malaysia meningkat 5.8 peratus tahun depan

Bank Dunia menganjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bakal meningkat kepada 5.8 peratus tahun depan.

Menurut Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, Bank Dunia pada mulanya hanya membuat unjuran 4.2 peratus.

Katanya, unjuran itu dibuat berdasarkan kemudahan dan bantuan kerajaan serta pendekatan yang proaktif melalui pelaksanaan pelan pemulihan ekonomi berikutan kesan yang diakibatkan oleh penularan wabak Covid-19.

“Kerajaan sedia maklum, sektor swasta merupakan penyumbang utama dalam pembangunan ekonomi negara dan menyediakan peluang pekerjaan kepada rakyat.

“Sehubungan itu, sebagai langkah untuk membantu mengurangkan kesan pandemik kepada ekonomi termasuk sektor swasta, kerajaan telah menyediakan sebanyak lapan pakej rangsangan ekonomi bernilai RM530 bilion.

“Susulan kemudahan dan bantuan kerajaan serta pendekatan yang proaktif melalui pelaksanaan pelan
pemulihan ekonomi, Bank Dunia telah mengunjurkan pertumbuhan KDNK Malaysia pada tahun 2022 meningkat
sebanyak 5.8 peratus berbanding unjuran asal sebanyak 4.2 peratus,” kata Ismail Sabri.

Menurutnya unjuran baharu tersebut menunjukkan bahawa Malaysia berada pada landasan yang tepat dan berpotensi membuka lebih banyak peluang perniagaan dan pekerjaan kepada bakat-bakat tempatan.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Anugerah Kecemerlangan Industri 2020 malam tadi. Majlis tersebut dianjurkan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Menurut Ismail Sabri, bagi memastikan Malaysia kekal relevan sebagai rakan dagang dan destinasi pelaburan pilihan MITI sedang merangka Aspirasi Pelaburan Nasional baharu untuk menarik pelaburan yang strategik dan mempunyai nilai impak ekonomi yang tinggi.

“Keupayaan ini akan menyokong dan menggalakkan integrasi di antara industri tempatan dengan rantaian
bekalan serantau dan global,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, kerajaan juga akan memperkukuhkan pendekatan berteraskan elemen persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) sejajar dengan agenda kelestarian serta pertumbuhan hijau.-SM

 

 

(Visited 176 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button