Rumah ghaib sekelip mata dihanyutkan banjir
PILU dan meruntun jiwa. Itulah perasaan yang dialami apabila melihat keadaan terkini di Kampung La, Jerteh selepas berdepan dengan banjir sejak enam hari lepas.
Bagi sebuah keluarga, musibah itu bukan sekadar menghanyutkan kain dan baju tetapi rumah yang telah didiami sejak setahun lepas turut ghaib entah ke mana.
Lebih menyedihkan rumah yang didiami enam sekeluarga itu gagal dijejaki dan pemiliknya hanya mampu melihat satu persatu barang rumahnya seperti peti sejuk dan mesin basuh dihanyutkan ketika banjir.
Pada hari kedua banjir, Suriati Mohd Yusof, 35, dapat melihat beberapa bumbung atap zink dan kayu lantai rumahnya melekat di pagar Sekolah Kebangsaan Kampung La, yang berada dalam 200 meter dari kedudukan rumahnya.
Beliau dan ahli keluarga kemudiannya bertindak membawa semula kayu dan atap itu ke kawasan rumah dengan hasrat mahu mencantumnya semula namun hujan lebat akhirnya membuatkan air semakin naik dan menghanyutkan keseluruhan rumah termasuklah barangan perabot serta perkakas dapur.
“Pada hari pertama kejadian, banjir berlaku pada pukul 10 pagi dan air masuk ke rumah terlalu cepat. Kami semua terpaksa menyelamatkan diri sehelai sepinggang ke sekolah berhampiran.
“Air terlalu deras, suasana jadi gelap gelita dan hujan mencurah-curah tersangat lebat… kami harung air paras dada untuk sampai ke sekolah, terus terlupa tentang rumah yang hanyut, hanya fikirkan soal nyawa sahaja ketika itu,” katanya yang terpaksa berkain pelekat diberi penduduk kampung kerana hanya itu sahaja pakaian yang ada memandangkan hampir sekampung turut dilanda bencana sama.
Ketika kejadian, suami Suriati, Hardi Mazda, 55, yang bekerja sebagai pemandu lori tiada di rumah kerana berada di Kuala Lumpur. Suriati tinggal di rumah itu bersama tiga anak mereka iaitu Adam Danish, 14; Nur Syalina Hartini, 12, dan Aliya Danisha, 7, adik Suriati iaitu Nur Azila,19, dan rakannya, Siti Nur Fazlida Mohd Asri, 22 tahun.
Kampung La, yang terletak 30 kilometer dari bandar Jerteh, adalah kawasan paling teruk dilanda banjir kali ini sehingga menyebabkan penduduk kampung terputus hubungan hampir tiga hari apabila satu-satunya laluan utama dinaiki air setinggi tiga meter.
Tiada satu pun kenderaan boleh masuk ke kampung itu malah sebuah lori milik Pejabat Daerah Besut turut ditenggelami air dan ‘tersadai’ ketika hendak menghantar bantuan kepada penduduk.
Beberapa penerbangan ihsan terpaksa dilakukan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang berpangkalan di Gong Kedak untuk membawa keluar pesakit seperti ibu mengandung dan kanak-kanak kurang upaya mendapatkan rawatan di Hospital Besut di Jerteh.
Tinjauan Bernama di kampung itu lewat petang semalam mendapati pelbagai kesan kemusnahan berlaku seperti gerai makan yang hanyut, pintu rumah tercabut, kerosakan sebahagian struktur rumah penduduk, jalan tar rosak dan terbongkah termasuk rumah Suriati yang hanyut.
Ketika ini, Suriati yang hanya mempunyai wang tunai RM15 dan terpaksa menumpang di salah sebuah rumah penduduk kampung sementara menunggu suaminya sampai untuk membina semula rumah baharu di tanah pusaka keluarga di kawasan yang agak jauh sedikit berbanding tapak rumah asal yang dihanyutkan air.
Suriati sebenarnya sedang membina sebuah rumah bersebelahan rumah yang dihanyutkan air itu namun terbengkalai kerana kekangan kewangan yang dihadapi mereka suami isteri. Ketika ini, hanya dinding rumah sahaja telah siap dengan kos yang telah dibelanjakan sebanyak RM18,000.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan dan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung La, Abdul Razak Laboh berkata kerajaan perlu menyediakan penempatan baharu untuk penduduk kerana hanya itu satu-satunya pilihan yang ada untuk mereka.
“Sampai bila kami nak hidup dalam keadaan macam ini, setiap tahun kami terpaksa berdepan masalah sama… ini bukan masalah baru berlaku sehari dua tapi dah berlarutan sejak 60 tahun lepas.
“Kami ada ditawarkan kawasan penempatan baharu tetapi letaknya di pinggir hutan. Kami mahu kerajaan sediakan penempatan baharu di satu kawasan berhampiran yang telah ada kemudahan awam seperti masjid, sekolah dan klinik tapi permohonan kami tidak diendahkan selama ini,” katanya yang sangat kecewa dengan situasi itu.
— BERNAMA