Nasional

Bahasa Melayu harus dipelajari atas semangat patriotik

Bahasa Melayu harus dipelajari atas dasar cinta dan semangat patriotik sebagai warga bumi bertuah Malaysia.

Menteri Kanan Pendidikan Datuk Dr Radzi Md Jidin berkata, dalam konteks Keluarga Malaysia yang terdiri daripada masyarakat majmuk bahasa merupakan wadah utama yang dapat merapat dan mengeratkan perpaduan masyarakat.

Persefahaman dan keharmonian dalam masyarakat dapat dibentuk apabila rakyat berkomunikasi menggunakan bahasa yang sama.

“Usaha menyatupadukan masyarakat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai kaum dengan bahasa ibundanya yang tersendiri, bukanlah sesuatu yang mudah.

“Oleh itu, bahasa Melayu haruslah dipelajari atas dasar cinta dan semangat patriotik sebagai warga bumi bertuah, Malaysia,” kata beliau dalam ucapan sempena sambutan Dekad Bahasa Kebangsaan Sektor Pendidikan tahun 2021.

Dekad Bahasa Kebangsaan (DBK) merupakan kesinambungan kepada pelaksanaan Bulan Bahasa Kebangsaan yang telah diperkenalkan pada tahun 1999.

Jelas beliau, tanggungjawab untuk memperkasakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan tidak seharusnya diserahkan sepenuhnya kepada Dewan Bahasa dan Pustaka.

Sebaliknya tanggungjawab tersebut perlu sama-sama digalas oleh setiap individu dalam masyarakat termasuklah warga Kementerian Pendidikan.

Peranan guru khususnya guru bahasa Melayu amat penting dalam memupuk rasa cinta dan bangga terhadap bahasa Melayu dalam diri generasi baharu pewaris negara.

“Dasar Pendidikan Kebangsaan telah menetapkan bahawa bahasa Melayu ialah bahasa pengantar dalam sistem pendidikan kebangsaan.

“KPM bertanggungjawab melaksanakan pelbagai usaha untuk memastikan semua pihak memahami Dasar Bahasa Kebangsaan, terutamanya bagi seluruh warga sektor pendidikan,” katanya.

Tambah beliau, sejarah membuktikan bahawa bahasa Melayu adalah merupakan lingua franca yang pernah digunakan secara meluas di rantau nusantara.

Semenjak zaman kesultanan Melayu Melaka bahasa Melayu telah berperanan sebagai bahasa perantaraan utama dalam pertuturan mahupun penulisan dalam perniagaan, perundingan dan perjanjian oleh para pedagang asing yang datang ke Kepulauan Melayu.

“Ini menjadi bukti kemampuan bahasa Melayu sebagai bahasa antarabangsa yang dapat digunakan oleh pelbagai bangsa,” katanya.

Kekuatan bahasa Melayu dalam konteks ilmu telah membuktikan bahawa bahasa Melayu mampu menjadi bahasa penyatu masyarakat.

Katanya, ianya jelas dilihat apabila bahasa Melayu berjaya menyatukan penduduk Nusantara sungguhpun rantau ini terdiri daripada pelbagai bangsa dan suku kaum. -SM

(Visited 759 times, 2 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button