Baek untuk Farisha Iris, rapper Alan D
FARISHA Iris, 22, mahu dikenali menerusi bakat nyanyian kerana minat itu sudah sebati dalam dirinya. Menurut Farisha, dia tidak pernah lelak untuk terus memperjuangkan muzik dan kerjaya seninya.
Pun begitu, laluan Farisha bukan mudah biarpun sudah menyertai pelbagai pertandingan nyanyian termasuk program realiti Big Stage musim ketiga yang lalu. Baginya, dia tetap berpegang pada prinsip tidak akan berputus asa.
Bercakap soal sengaja mencipta gimik murahan semata-mata bagi mempopularkan lagu dan diri mereka, Farisha mengakui, itu bukan cara yang sepatutnya dilakukan oleh seseorang penyanyi.
“Saya tidak gemar dengan pendekatan itu. Kalau gimik daripada pandangan netizen, mereka cepat percaya dan suka dengan ‘drama’ yang hebat.
“Memanglah dapat menarik perhatian dan promosi percuma. Kalau gimik itu dapat menaikkan nama, ok tapi kalau sebaliknya?,” katanya.
Dari pandangan sebagai penyanyi, Farisha tidak gemar melakukan sebarang gimik.
“Biarlah setiap apa yang dihasikan itu, berlaku secara semulajadi walaupun sambutannya tidaklah sehebat yang ada gimik. Tetapi itulah kenyataan,” tegas Farisha.
Menurut Farisha lagi, dia ada pendekatan supaya lagu dan namanya bergerak seiring tanpa perlu melalui satu fasa yang mana harus berdepan dengan kecaman orang ramai ataupun netizen.
“Pendekatan saya supaya orang sayang dan hargai bakat saya. Jadi kena letak usaha yang lebih dari segi bakat, pemilihan lagu dan tambahkan lagi pengalaman dalam industri.
“Sekarang, saya terfikir untuk meneruskan kelas vokal supaya saya semakin bertambah bagus. Mungkin, saya juga kena cuba bakat lain selain menyanyi iaitu berlakon atau mengacara, mana tahu kalau rezeki saya juga kea rah itu,” ujar beliau.
Beliau berkata, apapun rezeki yang ada di hadapan mata, kita tidak tahu bagaimanakah akhirannya nanti, adakah ia sesuai dengan diri.
“Andai kata saya tidak ada rezeki dalam bidang nyanyian, tidak raih ramai pendengar, saya terbuka untuk cuba bidang lain,” katanya.
Terbaharu, selepas muncul dengan Hello pada awal tahun ini, Farisha melancarkan single Baek, berkolaborasi dengan rapper Alan D.
Lagu ciptaan komposer Mingaling, lirik oleh Amir Hasan adalah terbitan syarikat rakaman 17 Eleven Music yang dilancarkan secara rasmi pada 2 Januari lalu.
Kata Farisha, pada awal 2021, dia berulang-alik ke studio Mass Music untuk mengenali komposer dan penulis lirik lagu Baek.
Lagu ini mengisahkan seorang wanita yang inginkan kejujuran lelaki dan mencari lelaki yang setia. Apabila mereka sudah bersama, wanita ini meminta lelaki itu menjaga dirnya dengan baik, setia dan gembira, kata Farisha tentang maksud lirik dalam lagu.
Sebagai penyanyi, kata Farisha, cabaran merakamkan lagu Baek ialah dia perlu menyesuaikan diri dengan genre pop kerana bunyi lagu Baek sangat urban dan lebih kepada penceritaan.
“Walaupun bunyinya macam senang nak nyanyi tetapi saya berasakan ada cabaran dari segi vokal. Nak rakam dalam studio agak susah. Kena ada stamina dan teknik vokal yang baik. Apatah lagi menyanyi secara langsung,” katanya sambil menambah, dia mengutamakan pandangan penyanyi senior dalam industri untuk mendengar muzik dan vokal yang berkualiti.
Dalam masa sama, kata Farisha, pendengar juga menjadi keutamaannya kerana siapa lagi yang akan menyokong bakat seninya jika bukan pendengar.
Baek pada hemat Farisha, mempunyai kekuatan tersendiri kerana kali pertama dia mendengar demo lagu tersebut, dia kagum dengan melodi dan gubahan lagu.
“Saya tertarik dengan idea ‘feat’ atau menampilkan penyanyi rap dalam Baek. Saya sangat berbesar hati diberikan pengalaman ‘featuring’ dengan mana-mana penyanyi rap.
“Saya diberikan peluang baharu dan juga diberi peluang melebarkan lagi bakat seni atau karya masing-masing,” jelasnya.
Berkolaborasi dengan rapper Alan D, menurut Farisha, dia teruja apatah lagi pernah mendengar lagu nyanyian Faizal Tahir bersama Alan D.
“Apabila kali pertama saya diberitahu dapat ‘featuring’ dengan Alan D, secara automatik saya teringat lagu Alan D bersama Faizal Tahir iaitu Luka Hati. Macam kebetulan sebab saya suka mendengar lagu itu.
“Harapan untuk single terbaru ini agar ia mendapat maklum balas dan sambutan yang baik dari semua peminat saya dan pendengar,” katanya.
Sementara itu, Alan D mengakui senang bekerjasama dengan Farisha.
“Attitude dan sikap Farisha yang sentiasa positif dan berfikiran terbuka membuatkan lagu ini menjadi.
“Saya amat senang hati dan gembira dengan tenaga dan aura yang Farisha bawa ketika rakaman lagu di studio dan video muzik. Dia juga seorang yang aktif dan penuh dengan semangat,” komen Alan D.
Katanya lagi, Baek ialah sebuah lagu yang orang ramai atau pendengar boleh kaitkan dengan kehidupan seharian.
Beliau mengakui mempunyai tone suara berpaduan yang serasi dengan Farisha selain menyambut baik apabila garapan Baek adalah cenderung kea rah kotemporari hip hop.
“Tambahan pula bahagian korus, lagu ini menarik dan ‘catchy’ serta senang untuk pendengar menyanyi bersama,” katanya.
Dalam masa sama, Alan D berharap lagu Baek ini diterima baik peminat muzik tanah air. – SM