Nasional

Azmin pengerusi mesyuarat Kabinet jika Muhyiddin tiada

JIKA Perdana Menteri tiada, Menteri Kanan, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan mempengerusikan mesyuarat Kabinet.

Perkara itu kata Tan Sri Muhyiddin Yassin diputuskan dalam mesyuarat Kabinet pertama beliau hari ini.

Jika Azmin yang juga menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri juga tiada, maka seorang lagi Menteri Kanan iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan mengambil alih tugas itu.

Walaupun begitu kata Muhyiddin, tidak ada hierarki dalam Kabinetnya, semua mereka berada pada kedudukan yang sama.

 

“Saya mempunyai sokongan yang banyak dan saya fikir ini adalah functional Cabinet yang akan berkhidmat untuk kepentingan negara,” katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Kabinet di Putrajaya hari ini.

Ketika mengumumkan barisan Kabinetnya Isnin lalu, Muhyiddin tidak melantik timbalan perdana menteri, sebaliknya melantik empat menteri kanan yang diberi kuasa mempengerusikan mesyuarat Kabinet jika Perdana Menteri tida dalam negara.

Empat menteri kanan itu ialah Azmin, Ismail Sabri (Menteri Pertahanan); Datuk Seri Fadillah Yusof (Menteri Kerja Raya) dan Dr Mohd. Radzi Jidin (Menteri Pendidikan).

Ditanya kemungkinan adakan diadakan pilihan raya umum sebelum berakhirnya mandat PRU14, Muhyiddin meminta supaya diberikan mereka peluang.

“Ini hari pertama kami bekerja, berilah kami peluang. Perjalanan masih jauh dan memang ini perkara penting.

“Kita akan rancang dengan betul untuk pilihan raya nanti, dan sekarang terlalu awal untuk bercakap mengenainya,” katanya. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button