fbpx
Berita

Rakyat Perlis disarankan agar sama-sama mengambil peduli tentang ‘Cabaran Baharu Dalam Dunia Komunikasi’

Antara cabaran baharu dunia komunikasi hari ini termasuklah ‘Ancaman Terhadap Privasi’ yang mana para pengguna media sosial haruslah lebih berwaspada semasa mengunakan aplikasi di internet kerana mereka mungkin akan mendedahkan maklumat privasi kepada orang yang tidak dikenali. Situasi ini boleh mendorong kepada pelbagai kes penipuan atas talian oleh individu atau pihak yang tidak bertanggungjawab.

Jauhkanlah diri daripada melayari media sosial yang berunsurkan keganasan, kekerasan mahupun yang berbentuk pornografi di mana ianya boleh memberikan kesan negatif terhadap emosi serta minda.

Demikian titah Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat merasmikan program ‘Titian Kasih Mega Peringkat Sekolah Menengah Kebangsaan Syed Alwi, Kayang, Tahun 2020’ berslogankan “Perlis Hebat – Rakyat Bermentaliti Kelas Pertama Dalam Tindakan” anjuran Yayasan Tuanku Syed Putra (YTSP) Perlis dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia melalui Jabatan Pendidikan Negeri Perlis serta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) yang dihadiri oleh seramai 400 pelajarnya pagi tadi.


Keberangkatan tiba baginda berdua di Dewan sekolah berkenaan disambut oleh Pengetua, Ghazali Ahmad serta Ketua Penyelaras Bersama Program iaitu Kapten Muhammad Azuan Mohamad Nasir dan Hakim Khan.

Hadir sama, Setiausaha Kehormat YTSP Perlis, Datuk Johari Mohd Darus.

Baginda yang juga merangkap Tuanku Pengerusi YTSP Perlis mengingatkan supaya masyarakat menghindarkan diri daripada terus mempercayai sebarang berita atau bentuk laporan yang tidak sahih dan khabar angin menerusi media sosial. Senario penyebaran maklumat palsu ini secara tidak langsung berkemungkinan boleh menjejaskan imej dan mengancam keselamatan negara.

Selain daripada itu, elakkanlah daripada mengunjungi pusat-pusat internet yang menyediakan pelbagai perkhidmatan internet untuk tujuan perjudian seperti kafe siber yang mengakses permainan video atas talian yang bercorak perjudian. Kita tidak mahu melihat tabiat negatif sebegini menjadi kebiasaan dalam masyarakat kita sehingga menjerumus kepada masalah sosial yang lebih serius lagi.

Bersempena kunjungan tersebut baginda berdua turut berkenan merasmikan ‘Makmal Sains Ibnu Sina’ sekolah dan juga menanam bunga kertas sebagai simbolik kunjungan.

Sekolah Menengah Syed Alwi telah mengecapi pelbagai kejayaan cemerlang sepanjang tahun 2019 yang lalu termasuklah berjaya melayakkan diri ke peringkat kebangsaan Kejohanan Kriket MSSM, Pertandingan Drama KOMSAS Sekolah Menengah, Kejohanan Tinju Sirkit I Remaja, Kejohanan 2nd KRS Ladies Rugby Sevens, Allianz Junior Football Camp Malaysia League dan lain-lain lagi.

Di akhir majlis, Pengetua mempersembahkan cenderakasih sebagai ingatan kepada Tuanku Raja Muda dan Tuanku Raja Puan Muda berupa ‘Madu Kelulut’ yang diusahakan sendiri sebagai projek keusahawanan oleh pihak sekolah melalui Kelab Pertanian sekolah dan juga pihak koperasi sekolah sejak 4 Mei 2019. Sehingga kini, lebih kurang 40 botol madu kelulut telah berjaya dijual di pasaran sekolah itu

Show More

Related Articles

Back to top button