Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali hari ini mengumumkan pelantikan semula Azam sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM bagi tempoh setahun berkuat kuasa Ahad ini.
Mohd Zuki berkata pelantikan itu dibuat selaras subseksyen dengan 5(1) dan (2) Akta SPRM 2009 [Akta 694].
Azam dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mac 2020 menggantikan Latheefa Beebi Koya yang mengambil keputusan memendekkan kontrak perkhidmatannya selaras dengan Subseksyen 5(3) Akta SPRM 2009.
Sebelum ini, tempoh perkhidmatan Azam sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM dilanjutkan selama setahun pada 2023 dan akan tamat pada 12 Mei depan.
Sementara itu Azam dalam kenyataan menjunjung kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim atas perkenan pelantikan semula sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berkuat kuasa Ahad ini.
Azam berkata beliau akan terus memastikan amanah itu dilaksanakan sepenuhnya dan menjalankan tanggungjawab tersebut dengan penuh integriti.
“SPRM juga berharap agar seluruh rakyat Malaysia serta jentera kerajaan, tanpa kompromi dapat berganding bahu bersama SPRM bagi memerangi jenayah rasuah di negara ini,” katanya.