Nasional

Ayeng, di mana kau?

Usaha mencari, menyelamat kanak-kanak Orang Asli diteruskan

SEORANG kanak-kanak perempuan Orang Asli, Ayeng @ Kamiliah Anab, 9, hilang pada 13 Januari lalu selepas terpisah daripada sekumpulan penduduk Kampung Jahai yang bersamanya dalam perjalanan pulang ke penempatan mereka di Kampung Selaor dalam Hutan Simpan Temenggor, Perak.

Usaha terus dijalankan sehingga ke hari ini bagi mencari dan menyelamatkan kanak-kanak perempuan tersebut dan mereka yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat percaya, kanak-kanak itu akan ditemui dalam keadaan selamat.

Polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Jabatan Kemajuan Orang Asli dan beberapa kumpulan lain sebelum ini dikerahkan mencari kanak-kanak itu tetapi menamatkan pencarian selepas usaha mencari selama lima hari tidak berjaya.

Bagaimanapun sejak Sabtu lepas, sekumpulan empat penyelamat daripada NGO pemuliharaan alam sekitar Panthera dan tiga lelaki Temiar meneruskan usaha mencari Ayeng dengan dibantu anjing penghidu.

Colin Nicholas, penyelaras di Pusat Keprihatinan Orang Asli, berkata, beberapa faktor merumitkan usaha terbaru mencari dan menyelamat kanak-kanak perempuan berkenaan .

“Cuaca sangat panas dan kering di kawasan pencarian sejak dia hilang dan ini bermakna kesan bau cenderung hilang dengan cepat,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, selain itu, usaha pencarian awal melibatkan lebih 100 orang.

“Dan itu mungkin menjejaskan beberapa bukti. Kami masih belum menemui sebarang bukti kehadirannya, apatah lagi budak itu sendiri,” ujarnya.

Pasukan penyelamat daripada Panthera pernah memainkan peranan penting dalam usaha mencari Tarmizi Ahmad Japli, seorang renjer PERHILITAN yang hilang di Hutan Simpan Yong di Taman Negara selama dua minggu pada 2018.

Nicholas berkata, kanak-kanak Orang Asli yang pernah hilang sebelum ini ditemui hidup selepas 30 hari, “walaupun tinggal tulang dan kulit” kerana mereka biasa dengan hutan.

Namun, timbul kebimbangan mengenai keupayaan Ayeng untuk menyesuaikan dan menjaga dirinya.

“Dia kurang upaya pendengaran dan sedikit kurang upaya mental. Jadi, mungkin dia tidak mempunyai kemahiran yang sama seperti orang lain. Itulah yang membimbangkan pada masa ini.

“Bagaimanapun kami masih optimistik dia boleh ditemui dalam keadaan hidup, masih belum terlambat,” katanya. – SM

 

 

 

(Visited 146 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button