Jenayah

Ayah hempas anak perempuan 7 tahun ke lantai

Suspek baru 2 minggu dibebaskan dari penjara

TERGAMAK seorang ayah mengangkat dan menghempas anak perempuannya yang berusia tujuh tahun ke lantai rumah hanya kerana si anak meminta air minuman di atas meja makan.

Kanak-kanak malang itu merupakan anak bongsu daripada empat orang adik beradik, cedera di dahi kiri kerana terkena bucu meja makan.

Ayah durjana itu pula mempunyai dua rekod jenayah lampau dan lima rekod lampau berkaitan kes dadah. Dia yang berusia 37 tahun, baharu dua minggu dibebaskan dari penjara atas kesalahan jenayah.

Selepas menghempas anaknya ke lantai, suspek, seorang penganggur, melarikan diri tetapi berjaya diberkas polis di rumahnya pada kira-kira pukul 12 tengah hari, keesokannya.

Pemangku Ketua Polis Kuala Kangsar, Zahiri Hassan berkata, kejadian berlaku di Kampung Kroh, Hilir, Kuala Kangsar pada kira-kira 8.20 malam, Ahad lalu.

Ketika kejadian, Zahiri berkata, suspek sedang makan sebelum tiba-tiba marah apabila anak perempuannya itu meminta air minuman di atas meja.

Suspek mengatakan anak perempuannya itu mengetuk kepalanya dan marah akan perbuatan anaknya itu.

“Mangsa menjerit dan menangis kesakitan. Ibu mangsa berusia 40 tahun yang sedang mengurus jadual persekolahan anak-anaknya bergegas, membawa mangsa ke klinik kesihatan untuk dirawat,” kata Zahiri dalam kenyataannya hari ini.

Zahiri berkata, mangsa kemudiannya dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk rawatan lanjut susulan mengalami kecederaan luka pada dahi kiri dan bengkak di bahagian kepala.

Suspek direman tujuh hari, sehingga Isnin depan, kata Zahiri dan kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak iaitu penganiayaan, pengabaian, pembuangan atau pendedahan kanak-kanak. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button