Awas penunggang agama, makin menjadi-jadi di negara ini
SAYA pernah menghadiri satu sesi diskusi yang dihadiri orang politik, pertubuhan bukan kerajaan dan agamawan.
Seperti biasa saya sering memberi pandangan ikhlas dari persepktif seorang wartawan.
Terdahulu untuk sampai ke lokasi program itu saya yang menunggang motosikal basah kuyup diguyur yang mencurah tiba-tiba.
Namun dek kerana janji saya teruskan juga hadir pada sesi berkenaan.
Setelah selesai sesi berkenaan hujan pun sudah berhenti dan ketika saya menolak motosikal, saya lihat deretan kereta mewah yang menunggu para pemimpin NGO, orang politik dan agamawan.
Saya berfikir inilah sebenarnya kehidupan mereka yang bertopengkan perjuangan rakyat dan agama, padahal hanya untuk mengisi tembolok masing-masing sahaja.
Sejak itu saya terus menjauhi diri daripada kelompok berkenaan kerana saya tidak rela pegangan hidup saya tercemar dek perjuangan palsu.
Mengimbau lebih jauh ke belakang ketika saya bertugas di Indonesia, saya mengadakan siri kunjungan ke makam-makam wali kerana di negara tetangga ini terdapat sembilan wali.
Apa yang saya lihat ialah penuh dengan amalan khurafat. Sepatutnya dengan berkunjung ke makan wali akan mengingatkan kepada hari khiamat, tetapi apa yang berlaku ialah perbuatan mengagung-agung wali berkenaan.
Bahkan dikatakan terdapat mata air yang tidak pernah kering seperti air zam-zam.
Ada yang melakukan solat sunat dengan mengadap makam dan bukan arah kiblat.
Perkara yang sama juga ketika saya berkunjung beberapa buah masjid di India yang mengikut fahaman syiah.
Bagaimanapun dihujungnya ada orang yang mengaut keuntungan dengan mengutip duit daripada para pengunjung.
Jadi apabila baru-baru ini ada sekumpulan ustaz berkunjung ke Gunung Jerai dan sengaja berlebih-lebihan amalannya ia membimbangkan saya.
Perkara sama turut dikongsi oleh Mufti Perlis, Dr. Maza yang khuatir para penunggang agama yang semakin berleluasa.
Penunggang agama jika tidak dikawal akan memberi mudarat kepada Islam serta masyarakat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad juga mahu aktiviti pemujaan dan khurafat di Gunung Jerai dihentikan segera kerana bertentangan dengan ajaran Islam.
Beliau berkata, mereka yang terlibat dengan aktiviti itu perlu menghentikan amalan itu bagi memastikan tidak berlaku lagi ‘bala’ akibat perbuatan yang bercanggah dengan ajaran Islam di gunung tersebut.
Ahli Parlimen Jerai Ustaz Sabri Azit diharapkan berbuat sesuatu agar dapat menghentikan perbuatan tersebut.
Ketika masih segar kejadian terjahan kepala air dari Gunung Jerai, ia bagaikan peringatan supaya perbuatan khurafat ini dibanteras sepenuhnya.