fbpx
Negeri

Aset Yayasan Selangor dijual kerana tidak ekonomik – MB Selangor

ASET Yayasan Selangor dijual kerana tidak ekonomik, kata Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau berkata, tindakan itu juga merupakan langkah penstrukturan semula Yayasan Selangor termasuk bagi mengurangkan beban hutang penyewaan dan pembiayaan pengajian berjumlah RM34 juta.

“Unit yang dijual ini sebahagian besarnya untuk penyusunan semula Yayasan Selangor dan tiada kaitan dengan impak Covid-19.

“Kita akan struktur semula masalah legasi lampau Yayasan Selangor iaitu sejak 1990 yayasan menanggung hutang penyewaan dan (pembiayaan) pengajian pelajaran berjumlah 34 juta,” katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjelaskan mengenai penjualan aset Yayasan Selangor yang dibangkitkan Ketua Pembangkang DUN Selangor, Rizam Ismail pada persidangan itu semalam.


Rizam menyatakan kerajaan negeri mahu menjual 77 aset Yayasan Selangor membabitkan pelbagai jenis bangunan komersial dan unit rumah bernilai lebih RM45 juta.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, pada masa ini kos pentadbiran dan pengurusan aset-aset terbabit mencecah RM2.9 juta berbanding kutipan hasil sewaan yang hanya meraih RM123,000.

“Kita tidak boleh terus menanggung kerugian disebabkan ada juga aset-aset ini yang tidak disewa bertahun-tahun,” katanya.

Pada masa sama katanya, kerajaan negeri turut bercadang menggantikan aset yang dijual itu dengan aset yang lebih berdaya saing dan menguntungkan, selain membaik pulih aset utama Yayasan Selangor yang terletak di Kampung Baru, Ampang Point dan Bukit Bintang.

“Kita juga bercadang untuk memindahkan Menara Yayasan Selangor di Petaling Jaya ke Shah Alam berikutan pengurusannya dibuat di sini. Menerusi langkah-langkah ini diharap boleh beri keuntungan untuk dimanfaatkan dalam bidang pendidikan bagi Yayasan Selangor,” katanya.

Persidangan DUN bersambung esok. – BERNAMA – SM

Show More

Related Articles

Back to top button