Arsenal dikritik benarkan David Luiz terus bermain selepas cedera di kepala
Pemain itu juga dibiarkan memandu pulang sendirian
ARSENAL dikritik cara mereka mengendalikan kecederaan kepala yang menimpa David Luiz apabila pasukan perubatan kelab membenarkan pemain tersebut memandu pulang seperti biasa selepas dia berlaga kepala dengan Raul Jimenez.
Insiden itu berlaku pada awal babak pertama permainan, yang menyaksikan penyerang Wolves, Jimenez terpaksa diusung keluar padang dan dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan selepas dia tidak sedarkan diri.
Jimenez, kemudian didedahkan, mengalami kecederaan retak tempurung kepala.
Luiz pula sebaliknya dibenarkan terus bermain, meskipun dia turut ditimpa kecederaan kepala yang serius sehingga memerlukan tujuh jahitan, dan cara layanan Arsenal itu mencetuskan kemarahan satu badan kebajikan kecederaan kepala, Headway, yang mencadangkan pengenalan pemain gantian akibat kecederaan kepala diperkenalkan bagi melindungi pemain.
Wolves pula mengesahkan bahawa Jimenez terpaksa menjalani pembedahan pada Ahad malam (awal pagi Isnin waktu Malaysia) dan pemain itu sedang menjalani proses pemulihan di hospital.
Luiz pula hanya di bawa keluar pada separuh masa pertama dengan pengurus, Mikel Arteta berkata selepas perlawanan bahawa pasukan perubatan telah menyempurnakan pemeriksaan yang sewajarnya sebelum membenarkan Luiz meneruskan permainan.
Apa yang lebih penting, doktor pasukan, Gary O’Driscoll, yang cukup dikenali ramai merupakan salah seorang pakar perubatan mengenai protokol gegaran otak, telah mengesahkan Luiz masih berada dalam situasi masih sedarkan diri dan dia tidak mengalami gegaran.
Berikutan keadaan tersebut, pemain tersebut tidak perlu menjalani rawatan akibat gegaran kepala.
Alasan Luiz digantikan selepas itu adalah disebabkan luka di kepalanya. Namun, Arteta mengakui, Luiz tidak menyenangi keputusan menggantikannya dengan Rob Holding pada rehat babak pertama.
Bagaimanapun, Luiz dibenarkan pulang ke rumah seperti biasa selepas perlawanan kerana pasukan perubatan memutuskan bahawa dia tidak memerlukan pemeriksaan atau rawatan lanjut di hospital. Luiz sebaliknya diarahkan untuk memberitahu pasukan perubatan sekiranya dia jatuh sakit pada waktu malam.
Headway dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, melahirkan rasa marah mereka tentang bagaimana insiden tersebut ditangani.
Timbalan Ketua Eksekutif Headway, Luke Giggs berkata: “Terlalu kerap dalam bola sepak, kita menyaksikan para pemain kembali ke padang selepas menjalani pemeriksaan gegaran di kepala, dan biasanya hanya di bawa keluar beberapa minit kemudian selepas didapati mereka tidak cergas untuk meneruskan aksi.
“Sebab itu mengapa kita memerlukan pemain gantian akibat gegaran kepala di dalam bola sepak. Anda tidak boleh mengambil risiko dengan kecederaan kepala.
“Masalah itu tidak sama seperti kecederaan otot di mana anda boleh membawa masuk kembali pemain untuk melihat sama ada mereka masih boleh berlari ataupun tidak. Hanya satu gegaran di kepala boleh menyebabkan masalah yang lebih serius.
“Apa yang menjadi persoalan ialah adakah peraturan pemain gantian akibat gegaran kepala diperkenalkan, patutkah Luiz dibenarkan kembali ke padang untuk terus bermain? Adakah masa tambahan di dalam bilik rawatan akan membawa kepada keputusan berbeza dibuat?
“Protokol gegaran di kepala jelas menyatakan bahawa sesiapa sahaja yang disyaki mengalami masalah itu mesti dilarang daripada meneruskan permainan. Sukan itu juga perlu terus mempromosi pendekatan ‘jika diragui, perlu diketepikan’ untuk kecederaan kepala.
“Dari semasa ke semasa, kita telah melihat retorik ini tidak diambil sebarang tindakan di atas padang. Ada sesuatu yang tidak betul di sini. Ia tidak boleh dibenarkan terus terjadi. Berapa banyak amaran yang bola sepak perlukan?”
Para pemain Arsenal direhatkan pada Isnin, tetapi pasukan perubatan ada menghubungi Luiz ekoran insiden berlaga kepala itu. Tetapi cara Gunners mengendalikan situasi berkenaan hanya mencetuskan kritikan, lebih-lebih lagi kepala Luiz jelas berdarah sewaktu aksi separuh masa pertama itu.
Bekas kapten England, Alan Shearer turut mengulas tentang cara Arsenal mengendalikan kecederaan tersebut apabila dia berkata: “Bola sepak perlu sedar, jangan sampai ia menjadi serius, bukan tahun depan, bukan minggu depan, tetapi sekarang.
“Isu ini telah lama diperkatakan. Protokol dalam bola sepak tidak boleh diterima.
“Jika dia lulus semua protokol, mengapa dia dibenarkan kembali ke padang dengan luka yang masih berdarah dapat dilihat menerusi balutan di kepalanya?” – Daily Mail – SM