Gara-gara lif Pangsapuri Amber Cove Klebang rosak, sepasukan pegawai dan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Melaka Tengah melakukan bantuan khidmat khas membawa turun dari tingkat 18 tiga sekeluarga termasuk seorang orang kurang upaya
(OKU) ke tempat parkir ditingkat lima petang semalam.
Pegawai Operasi Pejabat Daerah Angkatan Pertahanan Awam (PDPA) Melaka Tengah, Lt. (PA) Mohd. Kamil Hassan berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 5.00 petang meminta bantuan membawa turun lelaki OKU berusia 68 tahun kudung kedua-dua belah kaki.
Menurutnya, turut dibawa turun isteri lelaki OKU berusia 73 tahun dan mentuanya berusia 80 tahun yang masing-masing mengidap penyakit jantung dan asma kronik.
“Mereka menghubungi APM meminta bantuan membawa warga emas itu turun dari tingkat 18 ke tempat parkir di tingkat lima berikutan lif di tempat mereka tinggal rosak.
“Mereka meminta bantuan itu kerana ingin menyertai acara larian di Stadium Hang Jebat,” ujarnya ketika dihubungi hari ini.
Mohd. Kamil berkata, sepasukan 13 pegawai dan anggota kemudiannya dihantar ke pangsapuri berkenaan bagi membantu menurunkan semua mangsa dari tingkat 18 ke pakir kenderaan di tingkat lima.
Menurutnya, ketiga-tiga mangsa berjaya dibawa turun melalui tangga dengan selamat menggunakan teknik menyelimut dan mengikat.
Katanya, ketiga-tiga mangsa datang bersama keluarga mereka dari Batu Pahat, Johor untuk bercuti di negeri ini. – SM