Apabila ubi kayu ganti beras, alamak! Nasi tak ada
TANGGAL 6 April 2024, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul mencadangkan agar rakyat menggantikan sumber karbohidrat, nasi dengan ubi kayu sementara menunggu isu kekurangan Beras Putih Tempatan (BPT) yang sekian lama gagal diselesaikan oleh menteri yang bertanggungjawab.
Isu kekurangan dan kehilangan BPT di pasaran diperkatakan seawal September tahun lepas lagi dan sehingga kini, sudah masuk musim perayaan Hari Raya Aidilfitri pada 10 April lalu, BPT masih sukar diperoleh di pasaran.
Naib Presiden Merangkap Pengerusi Biro Pertanian, Membasmi Kemiskinan dan Aduan Awam PUTRA, Datuk Asmawar Samat sambil makan lemang dengan rendang, mengeluarkan kenyataan berbunyi, sebelum Hari Raya, sebanyak 150,000 metrik tan BPT telah dijanjikan akan diedarkan segera untuk menampung keperluan perayaan Hari Raya dengan harga RM30/10 kg.
Namun beliau mendakwa, yang muncul hanyalah BPT Harumas jenis Super Wangi dengan harga RM33.15/5 kg (RM6.63 sekilo) atau RM66.30/10 kg (tidak kelihatan). Perbandingannya, beras Sunwhite Import dijual dengan harga RM62.00/10 kg.
Bayaran zakat fitrah tahun 2024 pula, kata beliau, masih berdasarkan nilai harga beras yang dimakan harian iaitu RM7, RM14 dan RM22. Harga ubi kayu di pasaran ialah RM6 sekilogram.
“Hakikatnya, ketiadaan BPT telah menyukarkan rakyat berpendapatan rendah. Namun rakyat berpendapatan sederhana ke atas, mereka mampu membeli beras import berbanding ubi kayu.
“Nampak mereka membelinya tanpa merungut atau membandingkan dengan harga beras import lainnya seperti dipamerkan,” kata Asmawar dalam kenyataannya, baru-baru ini.
Beliau berkata, parti PUTRA berpandangan, jumlah BPT di pasaran perlu ditingkatkan kuantitinya dengan menetapkan harga siling baru yang lebih munasabah agar tidak membebankan rakyat di peringkat bawahan.
Cadangan makanan alternatif seperti ubi kayu hanyalah cakap-cakap buat seronok sahaja kerana selagi harga ubi kayu tidak turun sama dengan harga semasa BPT iaitu RM3 sekilomaka selagi itulah cadangan itu menjadi hangat-hangat tahi ayam, kata beliau.
“Makanya, selagi harga ubi kayu lebih kurang sama dengan beras import, selagi itulah rakyat bawahan keseluruhannya sukar untuk beralih makan ubi kayu.
“Lainlah bagi mereka dikampung misalnya yang mempunyai tanah atau boleh membuat batas-batas ubi ditepi jalan,” ujarnya.
Katanya, yang nyata, ubi kayu telah menjadi makanan mewah kerana Tuan Speaker telah menjamu Perdana Menteri dengan ubi kayu di rumah terbukanya baru-baru ini.
Di zaman pendudukan tentera Jepun tahun 1942-1945, mereka sanggup merampas beras dari rakyat hingga rakyat terpaksa menanam dan makan ubi, kata beliau lagi.
“Di zaman pasaran beras dikuasai para kartel, janganlah beras tempatan disorok dicuri bagi dicampur atau ditipu label dengan beras import bagi dijual untuk mendapat untung yang tinggi,” katanya.
Mak oh Mak!
Jom Mak pergi Raya
Sedapnya hidangan ubi kayu buah melaka
Alamak…nasi tak ada!! – SM