Mahkamah

Apa sudah jadi semua pertuduhan terhadap Ahmad Zahid dipinda saat akhir?

12 pertuduhan asal CBT, 2 pertuduhan rasuah dipinda pihak pendakwaan

PROSIDING sambung bicara kes Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pagi ini dikejutkan oleh Ketua Pendakwa Raya, Datuk Raja Rozela Raja Toran apabila barisan pendakwaan memohon kepada mahkamah untuk meminda semua pertuduhan pecah amanah jenayah (CTB) dan rasuah terhadap Ahmad Zahid.

Untuk rekod, permohonan pindaan pertuduhan yang dilakukan oleh barisan pendakwaan pagi tadi bukanlah kali pertama tetapi ini adalah kali keempat pindaan pertuduhan dibuat terhadap Ahmad Zahid.

Permohonan pendakwaan itu sudah semestinya memeranjatkan barisan peguam bela Ahmad Zahid. Mereka “was taken by surprise” dan hanya dimaklumkan pagi tadi selepas saksi pendakwa yang ke-85, Sothilechmy A/P Veerapan dari firma Lewis&Co, yang dipanggil semula untuk menyambung memberi keterangan, selesai disoal balas oleh peguam Ahmad Zahid.

Permohonan pindaan terhadap  kesemua pertuduhan ke atas Ahmad Zahid oleh Ketua Pendakwa Raya mendapat bantahan sekeras-kerasnya oleh Ketua Peguam, Hisyam Teh Poh Teik.

Apakah relevannya pindaan terhadap pertuduhan pertama, kedua, ketiga, keempat, kelima, keenam, ketujuh, kelapan, kesembilan, ke-10, ke-19 dan ke-20 yang dihadapi oleh Ahmad Zahid?

Tambahan pula selepas 85 orang saksi pendakwa dipanggil memberi kenyataan, baru hari ini, barisan pendakwaan terfikir untuk meminda pertuduhan-pertuduhan di bawah Seksyen 409, Kanun Keseksaan. Pindaan ini memilih second limb daripada salah satu limb Seksyen 409.

Untuk pencerahan, yang dipinda kesemua pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT)  ialah dengan menukuar perkataan atau ayat ‘ TELAH DIAMANAHKAN DENGAN HARTA’ kepada ‘TELAH DIAMANAHKAN DENGAN PENGUASAAN KE ATAS HARTA’.

Biasanya jika pihak pendakwaan membuat pindaan pertuduhan yang dikenakan terhadap Orang Kena Tuduh (OKT), boleh ‘bau’ barisan pendakwaan mendapati kes mereka dan saksi-saksi yang mereka panggil ‘koyak’ sekiranya prosiding perbicaraan terus berjalan mengikut pertuduhan asal. Dalam erti kata lain, mengekalkan pertuduhan asal yang dikenakan terhadap Ahmad Zahid.

Memang agak memusykilkan apabila di saat-saat akhir, berlaku pindaan pertuduhan. Tidak keterlaluan jika dikatakan di sini, kes perbicaraan Ahmad Zahid sudah hampir sampai ke penghujung.

Walaupun itu (meminda pertuduhan) adalah hak prerogatif barisan pendakwaan yang mana sebagai contoh, sehari sebelum mahkamah membuat keputusan, mereka masih boleh meminda pertuduhan namun ia adalah suatu tindakan yang bukan sahaja pelik tetapi mengundang pertanyaan.

Apakah barisan pendakwaan yang bijaksana menghadapi kesukaran, kes sebelum dibawah pertuduhan asal tidak boleh dibuktikan?

Di hadapan Hakim Collin Lawrence Sequerah yang bersidang sepanjang perbicaraan membabitkan bekas Menteri Dalam Negeri (KDN) ini, Hisyam memohon kepada mahkamah agar diberikan masa untuk berbincang dengan barisan peguam dan Ahmad Zahid sendiri.

Memetika sedikit kata-kata Hisyam di mahkamah tadi, “Ya. Memang pihak pendakwaan mempunyai hak untuk meminda pendakwaan.

“Namun ianya perlu direkodkan bahawa ia dilakukan di saat-saat akhir kes pendakwaan. Ia telah menyebabkan pihak pembelaan akan menggunakan hak kami untuk memanggil semula saksi-saksi yang telah pun dipanggil sebelum ini, untuk dipanggil semula.”

Pihak pendakwaan juga menyebut, pindaan yang dilakukan itu, dibuat dengan suci hati. Persoalannya, mengapa sekarang?

Memetik kata-kata Timbalan Pendakwa Raya (TPR) Gan Peng Kun, “… minor amendment. This will not prejudice the accuse… (pindaan ini kecil. Tertuduh tidak akan diprejudis).

Pada hemat peguam Hamidi Mohd. Noh, pindaan pertuduhan ini memilih second limb daripada salah satu limb di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan.

Apabila kesemua pertuduhan pindaan dibacakan satu persatu oleh jurubahasa mahkamah terhadap Ahmad Zahid, dengan tenang Ahli Parlimen Bagan Datoh memberitahu, faham terhadap pertuduhan.

Beliau mengaku tidak bersalah terhadap setiap satu pertuduhan pindaan. Ahmad Zahid masih terus mohon dibicarakan dan prosiding bersambung esok. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button