Politik

Apa sudah jadi dengan Ops Naga, soal Salahuddin

BEKAS Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Salahuddin Ayob mempersoalkan aktiviti pencerobohan nelayan Vietnam yang semakin menjadi-jadi kebelakangan ini.

Timbalan Presdien Amanah itu berkata, ketika beliau menjawat jawatan menteri pertanian isu pencerobohan nelayan asing dapat ditangani melalui operasi khas Ops Naga

Operasi tersebut mendapat kerjasama Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pertahanan, Kementerian Luar Negeri dan Kementerian Pengangkutan.

“Ingin saya ingatkan di sini bahawa operasi khas Ops Naga yang dilancarkan pada tahun lepas telah membantu dalam menyelamatkan hasil laut negara sekaligus membela nasib nelayan tempatan.

“Dalam masa beberapa bulan, lebih dari 200 vesel asing telah ditahan dan beberapa bot asing juga telah ditenggelamkan untuk dijadikan tukun bagi tujuan pembiakan ikan serta hasil laut,” kata Salahuddin.

Menurutnya, operasi khas itu membantu mengawal pencerobohan nelayan asing yang telah mengakibatkan ketirisan hasil laut sebanyak RM6 bilion setahun.

Ops Naga juga turut membantu menyelamatkan ekosistem laut daripada terus dirosakkan oleh kegiatan nelayan asing.

“Sebelum ini, saya sering memberi jaminan bahawa Ops Naga akan diteruskan untuk memastikan agar nasib nelayan tempatan terus terbela.

“Namun, dengan bertukarnya kerajaan Pakatan Harapan kepada Perikatan Nasional, operasi khas ini seolah-olah sudah diberhentikan,” kata Salahuddin.

Ahli Parlimen Pulai itu menyeru agar Ops Naga diteruskan untuk membela nasib nelayan tempatan yang terjejas mata pencarian mereka akibat pencerobohan nelayan asing.

Jelas beliau, walaupun kerajaan sudah bertukar, inisiatif yang berkesan seharusnya diteruskan tanpa mengambil kira unsur politik.-SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button