Gambar merisik dipadam, ‘unfollow’ media sosial, apa jadi dengan Neelofa dan PU Riz?
MASAKAN pokok boleh bergoyang kalau tiada angin?
Begitulah ibaratnya antara selebriti Neelofa dengan Haris Ismail atau juga dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Riz.
Nama kedua-dua personaliti itu menjadi trending di Twitter dengan dakwaan daripada netizen yang mengatakan hubungan mereka kini sudah mula retak.
Malah, gambar ketika majlis merisik yang dimuat naik oleh ibu Neelofa, Noor Kartini di akaun Instagram miliknya juga sudah tidak kelihatan.
Perkara itu sekali gus menimbulkan tanda tanya adakah terdapat masalah di antara Neelofa dan PU Riz.
Selain itu, kakak Neelofa, Noor Nabila juga memuat naik status di InstaStories berkaitan dengan isu perkahwinan.
Menerusi petikan kata-kata yang dimuat naik Nabila, dia memberi ingatan supaya bernikah dengan seseorang yang bercakap dalam keadaan baik walaupun ketika marah.
InstaStories berkaitan perkara sama juga dimuat naik oleh adik Neelofa, Ameera Khan berkaitan dengan sikap sebenar seseorang individu.
“Jika seseorang itu sudah menunjukkan warna sebenarnya, kita tidak perlu untuk mewarnanya kembali,” kata Ameera.
Kesemua status tersebut mempunyai kaitan berkenaan dengan sikap sebenar seseorang namun tidak ditujukan secara tepat kepada sesiapa.
Semestinya dengan gambar merisik yang sudah dibuang daripada laman sosial dan petikan kata-kata yang berbaur kekecewaan sedikit sebanyak menimbulkan tanda tanya terhadap hubungan Neelofa dan PU Riz.
Neelofa dan PU Riz setakat ini belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi berkenaan hubungan mereka.
Untuk rekod, Neelofa sebelum ini beria-ia menafikan hubungannya bersama dengan PU Riz sebelum tersebar gambar majlis merisik pada awal bulan lalu.
Difahamkan, majlis pernikahan mereka juga didakwa akan diadakan pada penghujung Mac tahun hadapan. -SM