Apa penjelasan ayat ‘orang kampung apa sangat nak bayar’
KUALA LUMPUR – Kenyataan calon Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Kecil Parlimen Tanjung Piai Karmaine Sardini mengenai orang kampung patut bersyukur harga sawit RM270 setan dan ‘mereka apa sangat nak bayar’ terus menjadi kontroversi.
Walaupun beberapa pemimpin Pakatan Harapan termasuk Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin cuba untuk menjelaskan maksud sebenar yang ingin disampaikan Karmaine mengenai konsep bersyukur namun isu tersebut terus hangat diperkatakan.
Muhyiddin hari ini berharap tiada yang salah faham dengan kenyataan calon PH itu yang meminta pengundi bersyukur walaupun harga kelapa sawit rendah.
“Dia cakap walaupun susah (dalam) Islam (perlu) bersyukur. Tetapi ia mungkin disalah tafsir apabila dia menyatakan kena bersyukur, (ia bermakna) bersyukur sebagai seorang Islam.
“(Apabila) kita jatuh miskin pun kita bersyukur. Saya harap ia tidak disalah erti,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Bagaimanapun kenyataan Muhyiddin tu tidak mampu meredakan kontroversi yang dicetuskan oleh Karmaine.
Turut memandang sinis kenyataan Muhyiddin itu adalah bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
“Makcik, pakcik jangan salah faham calon PH itu, ye. Dia kata patut syukur. Bukan cukur.
“Tapi apa penjelasan untuk bahagian ini pula? “Orang kampung apa sangat nak bayar? RM1,000 sebulan sudah cukup. Mahu makan sayur, tanam sayur sendiri” tanya Najib.
Semalam Karmaine dalam satu kempen pilihan raya berkata, orang kampung patut bersyukur dengah harga minyak sawit RM270 setan yang dianggap sebagai pendapatan yang banyak kepada mereka.
“RM270 banyak bukan sikit. Banyak sebenarnya. Kalau dia ada kebun 10 ekar dia boleh dapat lima tan sekurangnya.
“Lima tan darab RM270 dapat seribu lebih. Untuk orang kampung apa nak sangat bayar? Nak makan sayur tanam sendiri. Cuma yang perlu dia mengisi minyak.
“Jadi bendanya kena bersyukur, walaupun benda tu sikit kita masih boleh makan lagi,” kata Karmaine.-SM