Anzalna Nasir borong nasi lemak dijual lelaki OKU
DALAM keadaan ekonomi yang tidak menentu sekarang disebabkan pandemik Covid-19, mencari pekerjaan bukanlah sesuatu yang mudah.
Malah, ramai juga yang telah dibuang kerja termasuklah mereka yang sebelum bergaji tinggi seperti juruterbang dan sebagainya.
Terbaharu, kegigihan seorang lelaki Orang Kelainan Upaya (OKU) yang berniaga nasi lemak di kaki lima telah mendapat perhatian pelakon, Anzalna Nasir.
Malah, pelakon filem Sepah The Movie itu turut menyatakan hasratnya untuk membeli kesemua nasi lemak yang dijual lelaki itu dan memberi promosi percuma kepadanya.
“Tolong kira berapa nasi lemak atas meja itu. Saya hendak beli semuanya sebab nak tolong abang ini.
“Saya hormat kepadanya kerana walaupun OKU, dia masih rajin mencari rezeki,” katanya.
Perkongsian Anzalna di akaun Instagram miliknya telah menarik ramai individu untuk tampil membantu lelaki tersebut.
Malah, pelakon, Adeline Tsen juga sempat meminta alamat lokasi lelaki tersebut berniaga untuk membeli sendiri nasi lemak jualannya.
Dalam pada itu, Anzalna turut berkongsikan lokasi dan nombor telefon yang boleh dihubungi untuk bertanya lebih lanjut.
Difahamkan, lelaki yang dilahirkan tanpa tangan sejak lahir itu hidup sendiri dengan menyewa bilik di ditingkat atas sebuah kedai di Cheras.
Lelaki berusia 28 tahun itu juga mula menjual nasi lemak sejak bulan Julai lalu. -SM