Nasional

Anwar tidak prihatin dengan keluhan rakyat – Muhyiddin

Saya teliti maklum balas rakyat di media sosial rata-ratanya kesal dengan pengumuman Perdana Menteri mengenai penyasaran subsidi diesel yang kemudiannya akan disusuli dengan RON 95.

Ramai yang secara sinis menyinggung Perdana Menteri yang dahulunya berjanji akan menurunkan harga minyak. Namun, realitinya tidak begitu. Apabila menjadi Perdana Menteri, beliau menarik balik subsidi yang akan menyebabkan kenaikan harga minyak.

Secara lebih serius, ramai yang mempersoalkan kesan penarikan balik subsidi ini ke atas kenaikan harga barang dan kos sara hidup. Ini suatu kebimbangan yang berasas.

Sebab itu semasa berucap di Parlimen pada bulan Mac yang lalu, saya mencadangkan kepada kerajaan supaya menangguhkan dahulu pelaksanaan rasionalisasi subsidi, khususnya subsidi diesel dan petrol.

Ini memandangkan rakyat sedang terbeban dengan kenaikan harga barang dan kejatuhan nilai ringgit yang memberi kesan langsung ke atas beban kos sara hidup rakyat.

Apatah lagi kerajaan baharu sahaja melaksanakan penyasaran semula subsidi elektrik pada bulan Januari 2024, cukai barang bernilai rendah pada bulan Januari 2024, kenaikan tarif air pada bulan Februari 2024 dan kenaikan cukai SST pada bulan Mac 2024.

Semua ini ibarat beban  bertimpa-timpa yang terpaksa ditanggung oleh rakyat pada satu masa. Apabila subsidi diesel dan kemudiannya RON 95 ditarik balik, kesannya akan menjadi lebih teruk.

Sebab itu, saya menggesa kerajaan pada bulan Mac yang lalu supaya menangguhkan dahulu rancangan rasionalisasi subsidi kerana memikirikan kebajikan rakyat. Dengarlah keluhan rakyat.

Nampaknya, Perdana Menteri tidak prihatin terhadap keluhan rakyat dengan meneruskan juga pelaksanaan rasionalisasi subsidi  ketika rakyat sedang susah.

Lebih mengecewakan, Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan tidak memberikan penjelasan secara terperinci bagaimana isu beban kos sara hidup rakyat akan ditangani secara tuntas oleh kerajaan akibat penarikan balik subsidi diesel dan selepas ini RON 95.

Yang diumumkan ialah bantuan akan diberikan kepada beberapa golongan pemilik kenderaan tertentu. Berapa ramai yang akan menerima bantuan dan berapa nilai bantuan tidak dijelaskan dengan terperinci.

Bagaimana pula dengan kesan penarikan balik subsidi diesel dan RON 95 ke atas seluruh rantaian bekalan? Apakah langkah-langkah komprehensif yang akan diambil oleh kerajaan untuk menanganinya? Hal ini juga tidak dijelaskan secara terperinci oleh Perdana Menteri.

Diumumkan juga penarikan balik subsidi ini akan menjimatkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM4 bilion. Tidak ada penjelasan secara terperinci bagaimana hasil penjimatan ini akan dibelanjakan oleh kerajaan.

Misalnya, berapa banyak nilai bantuan yang akan dinaikkan untuk manfaat rakyat? Siapa yang akan menerimanya? Ini juga tidak dijelaskan secara terperinci oleh Perdana Menteri.

Sepatutnya Perdana Menteri dalam perutusannya memberikan penjelasan secara terperinci mengenai langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan untuk menampan kesan penarikan balik subsidi ke atas kenaikan kos sara hidup rakyat. Rakyat ingin tahu apakah pakej-pakej bantuan yang akan diterima oleh mereka hasil penjimatan subsidi.

Saya perhatikan angka-angka ekonomi yang dinyatakan oleh Perdana Menteri seperti kadar pertumbuhan ekonomi, nilai pelaburan dan inflasi tidak menggambarkan situasi sebenar yang dihadapi oleh rakyat di bawah.

Rata-rata rakyat masih mengeluh mengenai kesukaran yang terpaksa mereka hadapi akibat kenaikan kos sara hidup.

Bayangkan jika penarikan balik subsidi diesel dan selepas ini RON 95 tidak ditangani dengan  cekap dan berkesan oleh kerajaan, kenaikan kos sara hidup rakyat akan berlaku dengan lebih mendadak.

Berdasarkan apa yang diucap oleh Perdana Menteri dalam perutusannya, saya tidak yakin beliau tahu apa yang perlu dibuat.

YB TAN SRI DATO’ HAJI MUHYIDDIN BIN HAJI MOHD YASSIN

Pengerusi Perikatan Nasional

26 Mei 2024

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button