Belang Bertempat

Anwar dan permainan politik

SEMASA zaman awal pembabitan di dalam politik, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi idola para pelajar dan anak muda keseluruhannya kerana gaya pidatonya dan keberaniannya dalam memperjuangkan masalah masyarakat.

Walaupun gaya berkenaan hanya ditiru dari negara tetangga Indonesia, tetapi dek kerana kita tidak terdedah dengan ahli politik luar ketika itu jadi ketokohannya dianggap tiada tolok bandingnya.

Anwar ketika itu lebih akrab dengan panggilan Saudara Anwar rapat dengan gerakan Islam seperti Angkat Belia Islam atau Abim dan parti yang memperjuangkan Islam iaitu Pas.

Abim juga mempunyai gerakan Usrah di seluruh universiti bagi melahirkan kader-kader pergerakan itu dan menjadikannya begitu berpengaruh khususnya dalam kalangan penuntut universiti.

Sedangkan kebanyakan penuntut berkenaan tidak pernah bersemuka dengan Anwar, tetapi pemikiran pemimpin muda itu terus diidolakan.

Melihatkan situasi itu Tun Dr. Mahathir Mohamad telah membawa masuk Anwar ke dalam kerajaan dan beliau diberi laluan hijau untuk meningkat ke puncak hinggalah selangkah lagi untuk menjadi Perdana Menteri menggantikan Dr. Mahathir beliau kecundang.

Bila di dalam kerajaan Anwar mudah lupa daratan dia tidak lagi menghormati kawan-kawannya yang dahulu dan telah menjadi musuh beliau seperti Mohamad Sabu salah seorang pemidato terbaik Pas ketika itu.

Jadi apa lagi Anwar modal yang sering digunakan oleh Mohamad Sabu di dalam kempen-kempen politik.

Tetapi apabila Mohamad Sabu kembali di dalam satu saf dengan Anwar di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH) dia tidak lagi menjadikan Anwar sebagai modal, hingga menjejaskan tarikan kepada pidato politiknya.

Anwar ketika menyandang jawatan Timbalan Perdana Menteri telah diberi tanggungjawab mengendalikan media dan ia digunakan sepenuhnya untuk menjatuhkan mereka yang dilihat berpotensi melawannya seperti Rahim Thamby Chik yang sehingga hari ini tidak dapat bangkit selepas dimalukan dengan kes seks bersama gadis bahawa umur.

Anwar menggunakan Utusan Malaysia yang cukup berpengaruh untuk memburukkan imej pemimpin Pemuda UMNO itu.

Tidak itu sahaja, Anwar juga menggunakan Utusan Malaysia untuk menjatuhkan dan memalukan Timbalan Perdana Menteri, Tun Ghaffar Baba.

Namun akhirnya permainannya memakan dirinya sendiri apabila Dr. Mahathir menggunakan media yang sama untuk menjatuhkan Anwar dengan kes seksual songsang.

Anwar melancarkan gerakan reformasi tetapi ia tidak berjaya kerana media arus perdana berjaya mengekangnya daripada mendapat sokongan seluruh rakyat.

Sedangkan gerakan yang sama di Indonesia berjaya meruntuhkan kerajaan Suharto pada tahun 1998.

Ketika Dr. Mahathir membawa masuk Anwar ke dalam kerajaan adalah kerana bagi mengimbangkan pengaruh Pas yang sangat kuat ketika itu.

Imej agama yang dibawa oleh Anwar bukan sahaja membawa sokongan kepada UMNO juga kepada kerajaan pimpinan Dr. Mahathir.

Ketika tidak lagi menjadi kerajaan Dr. Mahathir sekali lagi menggunakan Anwar untuk menumbangkan kerajaan Barisan Nasional (BN) dengan bantuan DAP.

Selepas kerajaan pimpinan Dr. Mahahtir tumbang kepada kerajaan Perikatan Nasional selepas dikhianati oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin, Anwar sekali lagi digunakan oleh Dr. Mahathir.

Kali ini bukan sahaja pemimpin itu bahkan UMNO juga sama mempergunakan Anwar.

Dr. Mahathir menggunakan Anwar untuk menekan Muhyiddin, manakala UMNO menggunakan Anwar untuk menekan Bersatu supaya mendapat ‘deal’ yang lebih baik.

Muhyiddin pastinya akan menunaikan apa sahaja yang dituntut oleh UMNO demi memastikan kerajaan kelebihan sokongan dua ahli parlimen ini terus bernyawa.

Jika perjanjian dengan Bersatu dimeterai dan dilaksanakan, UMNO pastinya tidak akan melompat ke kolam Anwar kerana di situ ada DAP yang sebenarnya parti paling besar dari segi jumlah ahli parlimen.

Jika kerajaan perpaduan dibentuk juga sebenarnya pemimpin yang lebih kompeten untuk dilantik sebagai menteri adalah dalam kalangan pemimpin DAP selain UMNO.

Oleh itu Anwar gagal menjadi Perdana Menteri kali ini ia tidak akan berhenti setakat itu, akan ada lagi pusingan seterusnya mempergunakan Anwar untuk mencapai matlamat peribadi masing-masing. – SM

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button