MENTERI Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Annuar Musa komited untuk merangka hala tuju kementeriannya supaya lebih proaktif dan menyumbang kepada kemakmuran negara supaya seluruh Keluarga Malaysia memperolehi manfaatnya.
Menurut Annuar, KKMM mempunyai peranan yang sangat penting lebih-lebih lagi ketika negara sedang berhadapan dengan pelbagai cabaran seperti pandemik Covid-19 dan pemulihan ekonomi, keperluan pemerkasaan sektor digital di samping pembelaan kehidupan rakyat.
“InsyaAllah, saya akan berusaha sedaya upaya bagi memikul tugas dan amanah yang diberikan ini sebaik mungkin.
“Saya berharap akan mendapat kerjasama penuh daripada seluruh saf pegawai dan keluarga KKMM serta agensi-agensi di bawahnya. Semoga Allah mempermudahkan segala urusan dan kita dapat bekerjasama dalam satu saf yang tersusun,” katanya.
Dalam pada itu, Annuar turut menjunjung kasih atas limpah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Di-Pertuan Agong atas perkenan baginda melantiknya saya sebagai Menteri KKMM
Beliau juga mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih atas kepercayaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang memilihnya menganggotai kabinet.
“Kepercayaan dan amanah yang diberikan ini adalah satu penghormatan yang amat besar buat diri saya, rakyat di Parlimen Ketereh dan juga kepada UMNO serta Barisan Nasional yang saya wakili,” katanya.
Annuar sebelum ini merupakan Menteri Wilayah Persekutuan dan banyak melakukan perubahan positif kepada rakyat di Wilayah Persekutuan.
Antara projek yang dilakukan sebelum ini termasuklah memberikan lesen perniagaan percuma dan Rumah Prihatin@Grand Seasons.-SM