NasionalRencah Hidup

136 keluarga terkesan Covid-19 terima bantuan Jãriah al-Barakah Bank Rakyat

LANGKAH bijak yang diambil oleh pihak pengurusan Bank Rakyat dengan ketua-ketua masyarakat termasuk imam-imam masjid membuahkan hasil apabila Surau Al-Barakah Bank Rakyat berjaya menyalurkan sumbangan kepada 136 keluarga mangsa Covid-19 di seluruh negara.

Langkah ini adalah sebagai inisiatif Dana Bantuan Mangsa Covid-19 yang bermatlamat memberi kelegaan kepada kalangan mereka yang terkesan akibat pandemik tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Bank Rakyat, Datuk Syed Abdul Aziz Syed Hassan berkata, penerima sumbangan Dana Bantuan Mangsa Covid-19 telah dikenal pasti oleh cawangan Bank Rakyat menerusi maklumat yang disalurkan oleh pihak-pihak yang berkenaan.

“Menerusi inisiatif ini, sebanyak RM250 telah disedekahkan kepada setiap keluarga mangsa Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menyedari kesukaran yang dialami oleh masyarakat akibat daripada pandemik Covid-19, Syed Abdul Aziz berkata, Sekretariat Jãriah al-Barakah menggerakkan kutipan sumbangan sejak 8 Jun hingga 7 Julai lalu.

Katanya, sumbangan diperoleh daripada warga kerja Bank Rakyat dan juga masyarakat luar yang prihatin dengan kesukaran yang dialami oleh mangsa-mangsa yang terkena jangkitan Covid-19.

Untuk rekod, Jãriah al-Barakah diperkenalkan melalui kerjasama Bank Rakyat dengan Surau AlBarakah Bank Rakyat tahun lalu.

Platform ini berfungsi sebagai medium untuk warga kerja bank dan masyarakat menyumbang seterusnya membantu mereka yang kurang berkemampuan khususnya untuk golongan B40.

“Hasil kutipan yang diperoleh akan dilaburkan dan keuntungan pelaburan tersebut disalurkan untuk pembangunan sektor pendidikan, kesihatan dan pemerkasaan ekonomi masyarakat,” jelas Syed Abdul Aziz.

Kata Syed Abdul Aziz lagi, inisiatif yang dijalankan melalui Jãriah al-Barakah mampu membuka ruang kepada masyarakat untuk bersama-sama membantu mereka yang kurang berkemampuan semasa menghadapi kehidupan pasca Covid-19.

Mereka yang berhasrat untuk membuat sumbangan boleh menggunakan medium perbankan dalam talian menerusi akaun Surau AlBarakah, 11-0146-412-2 (Bank Rakyat) atau perkhidmatan JomPay (Kod Biller: 26492). – SM

(Visited 275 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

HASNURUL MOHAMED

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad yang kehilangan kerja.

Related Articles

Back to top button