Ekonomi

Angkasa teroka bidang perniagaan baharu

ANGKATAN Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) giat meneroka bidang perniagaan baharu bagi  mendorong gerakan koperasi negara terlibat dalam sektor ekonomi berimpak tinggi supaya peranannya dapat diperluas khususnya kepada pembangunan sosiekonomi rakyat di negara ini.

Menurut Presiden Angkasa merangkap Presiden ASEAN Co-operative Organization(ACO), Datuk Abdul Fattah  Abdullah, Pelan Stategik ANGKASA 2050 atau PESAN50 yang sedang dilaksanakan telah berada dalam fasa Pelan Jangka Sederhana 2021 – 2030 yang memberi fokus untuk menjadikan koperasi sebagai pilihan utama pengguna
dalam menjalankan perniagaan.

“Komitmen ANGKASA pada masa ini adalah memastikan gerakan koperasi dapat memainkan peranan selari dengan Pelan Transfomasi Koperasi Negara 2021 – 2025 (TransKom) dan Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030 agar manfaat pengagihan ekonomi yang adil kepada semua rakyat di negara ini dapat dicapai,” katanya.

Katanya, Angkasa sentiasa cakna dengan cabaran yang dihadapi oleh koperasi terutamanya kesan terhadap momentum perniagaan koperasi di negara ini.

Justeru, Angkasa sedia memberi peluang, sokongan dan bimbingan kepada koperasi untuk menceburi bidang perniagaan baharu bagi memastikan sektor koperasi kekal menjadi platform bantu diri yang berkesan kepada anggota dan komuniti setempat.

Bidang perniagaan norma baharu yang menjadi penyelesaian permasalahan masyarakat pada masa ini seperti bidang perniagaan digital, kesihatan dan peruncitan secara pesanan dalam talian wajar dijadikan tumpuan kerana menjadi keperluan yang mendesak berikutan gelombang pandemik COVID-19 yang masih berlarutan dan dijangka mencapai fasa endemik pada akhir tahun ini apabila kadar imuniti kelompok dapat dicapai.

Justeru sebagai penghargaan kepada petugas barisan hadapan negara yang menjalankan tugas dengan penuh tanggungjawab serta meraikan penerima vaksin yang memberi sumbangan kepada peningkatan kadar imuniti kelompok, Angkasa komited untuk menunaikan tanggungjawab sosial koperasi kepada Pusat Pemberian Vaksin
(PPV) di sekitar Lembah Klang.

Demi menzahirkan penghargaan ini, Angkasa memberi sumbangan sebanyak 10,000 pek makanan ringan dan kit kesihatan melalui Coop Farmasi ANGKASA kepada kira-kira sepuluh (10) PPV di sekitar Lembah Klang yang bernilai RM80,000.

Sumbangan pada hari ini disampaikan oleh Abdul Fattah kepada Pengurus PPV Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Nurul  Hamiza Mis dan Ketua Klinik Kesihatan Pandamaran Klang, Dr. Zil Azwan
Abdullah yang masing-masing menerima sumbangan 1,000 pek makanan ringan dan kit kesihatan bernilai RM7,000.

Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Perhubungan Angkasa Negeri Selangor, Datuk Mohd Alias Hamzah dan Pengurus Besar Bahagian Komunikasi Korporat Merangkap Pegawai Khas Presiden Angkasa, Halim Ibrahim.

Angkasa sebagai badan induk yang mewakili gerakan koperasi negara di peringkat nasional dan antarabangsa sentiasa giat membantu masyarakat menerusi program tanggungjawab sosial (CSR) COOPCARE sejak pandemik COVID-19 bermula pada tahun lepas melalui sumbangan barangan keperluan harian yang terdapat dalam Projek
Barang Asas 100 (BA100) dan kit kesihatan.

Sejak bulan Mac 2020 sehingga kini, Angkasa telah melaksanakan 89 program yang memberi manfaat kepada lebih 50,000 penerima yang terdiri daripada anggota koperasi, petugas barisan hadapan, golongan asnaf, B40, miskin bandar dan golongan rentan dengan nilai sumbangan sebanyak RM2 Juta.

(Visited 266 times, 1 visits today)

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka (klik) dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Wartawan SuaraMerdeka

Penulis adalah bekas wartawan Utusan Melayu (M) Berhad.

Related Articles

Back to top button