Pegawai JPJ maut kejar suspek elak sekatan jalan raya
KUALA LUMPUR: Seorang pegawai penguat kuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) maut dalam kemalangan jalan raya ketika mengejar seorang penunggang motosikal di Km3 Jalan Lingkaran Tengah 2 (MRR2), menghala ke plaza tol Gombak hari ini.
Azizi Azizan, 30, dikatakan sedang menjalankan rondaan motosikal bersama beberapa yang lain ketika kejadian kira-kira jam 10 pagi itu.
Dia dikatakan mengejar seorang penunggang motosikal yang melanggar sekatan jalan raya apabila gagal mengawal kenderaannya dan terjatuh sebelum dirempuh sebuah kereta yang datang dari belakang.
Pegawai perubatan yang tiba di tempat kejadian mengesahkan dia meninggal dunia.
Pengarah JPJ Kuala Lumpur Mohd Zaki Ismail, ketika ditemui di tempat kejadian, mengesahkan perkara itu dan berkata mayat Azizi dihantar ke Hospital Selayang untuk bedah siasat.