Hiburan

Andika Putera tamat zaman duda, pilih untuk tidak dedahkan wajah isteri baru

PEMPEGARUH media sosial yang sering mencuri perhatian, Andika Putera, kini telah menamatkan zaman dudanya. Perkongsian video majlis pernikahan dan persandingan bersama seorang wanita telah menarik perhatian ramai.

Menerusi hantaran terbaharu di Instagram, Andika atau nama penuhnya Muhamad Andika Putera, memuat naik video indah yang memperlihatkan detik-detik istimewa tersebut. Pempengaruh berusia 27 tahun itu tampil segak bersama isterinya dengan mengenakan busana serba putih untuk kedua-dua majlis, menonjolkan keanggunan dan keistimewaan hari bahagia mereka.

Turut mencuri tumpuan dalam majlis itu ialah anak perempuan Andika, Alisha Puteri, yang kelihatan ceria menyaksikan kebahagiaan ayahnya.

“Bismillah. Inilah permulaan baru dan sebuah kebahagiaan yang tidak berkesudahan. Semoga Allah membimbing perkahwinan kita dan memberi sakinah, mawaddah, dan rahmah. Amin,” tulis Andika dalam kapsyen hantarannya.

Selain itu, Andika turut menyampaikan ucapan penghargaan kepada keluarga, rakan-rakan, dan isteri tercinta atas sokongan mereka.

“Terima kasih kepada keluarga, sahabat, keluarga baru, dan semua yang mendoakan. Doakan ikatan ini membawa ketenangan, kebahagiaan, dan kasih sayang yang berpanjangan. Dan akhir sekali, terima kasih cinta.”

Bagaimanapun, Andika memilih untuk tidak mendedahkan wajah isterinya dalam video tersebut.

Di ruangan komen Instagram, Andika dihujani dengan ucapan tahniah dan doa agar perkahwinannya kali ini diberkati dan kekal hingga ke akhir hayat.

Terdahulu, Andika pernah mendirikan rumah tangga dengan pempengaruh media sosial Ananda Natasha.

Bagaimanapun, rumah tangga mereka berakhir selepas empat tahun, dan mereka dikurniakan seorang cahaya mata, Alisha Puteri.

PENTING
1) Sertai Group Whatsapp Suara Merdeka klik dan;
2) Ikuti Suara Merdeka di Facebook, Twitter, Instagram serta TikTok!
Show More

Related Articles

Back to top button