
Jaa Suzuran terkejut penahanan kakak ipar, penyanyi Bey Soba Bey, mohon doakan yang baik
SELEBRITI dan pengacara terkenal, Jaa Suzuran, mengakui terkejut dengan berita penahanan abangnya bersama kakak iparnya, penyanyi Eda Ezrin, yang dikenali menerusi lagu popular Bey Soba Bey.
“Percayalah, kalau ada perkara yang boleh saya jelaskan, saya memang ingin bercerita. Siapa yang tidak mahu mempertahankan keluarga? Sudah tentu saya terkejut kerana semuanya berlaku secara tiba-tiba. Susah untuk saya jelaskan. Jika perkara ini berlaku kepada anda, pasti ia memberi kejutan yang sama,” katanya.
Menurut Jaa, keluarganya kini hanya mampu berdoa agar segala urusan dipermudahkan.
“Saya harap ujian yang kami lalui ini akan berakhir dengan baik. Saya tidak mahu bercakap lebih-lebih kerana saya tiada di tempat kejadian. Apa yang penting, kami serahkan kepada pihak berkuasa untuk menyelesaikannya,” jelasnya.
Ketika ditemui media, Jaa dilihat tenang menjawab soalan yang diajukan. Namun, dia memohon agar orang ramai berhenti membuat spekulasi atau menyebarkan andaian tidak benar mengenai kes tersebut, memandangkan ia masih dalam siasatan.
“Saya harap semua dapat berhati-hati ketika bercakap tentang perkara ini kerana kita tidak tahu cerita sebenar yang berlaku pada waktu kejadian,” katanya.
Jaa juga mengakui bahawa sebelum ini dia pernah memberi komen terhadap isu-isu viral tanpa mengetahui fakta sebenar.
“Tidak dinafikan, saya sendiri pernah membuat spekulasi apabila sesuatu kes viral. Namun, hakikatnya kita tidak berada di tempat kejadian, jadi sebaiknya kita lebih berhati-hati,” tambahnya.
Isu yang Tular
Jaa turut menyedari bahawa dia tidak mampu menghalang orang ramai daripada terus memperkatakan tentang kes membabitkan kakak iparnya itu, memandangkan isu tersebut telah mendapat perhatian meluas.
“Kadang-kadang saya memilih untuk tidak melayan komen yang ditinggalkan. Lagipun, kita tidak boleh menyalahkan mereka kerana kes ini sudah viral.
“Siapa yang tidak mengikuti perkembangan kes? Saya hanya mampu bersabar. Hendak marah pun tiada gunanya,” ujarnya.
Pada 14 Januari lalu, penyanyi dikir barat terkenal, Wan Norshaheeda Azlin Wan Ismail atau lebih dikenali sebagai Eda Ezrin, bersama lima individu lain didakwa di Mahkamah Wilayah Narathiwat, Thailand, atas pertuduhan memiliki 6,059 pil yaba dan mengambil dadah. Kesalahan tersebut didakwa berlaku di Pekan Sungai Golok pada 1 November tahun lalu.
Bagaimanapun, Eda, 30, suaminya Mohd Affendi Ahmad, 35, serta empat yang lain – Mohamad Alif Deraman, 33; Nur Aida Mamat, 33; Erdeka Mohd Noor, 33; dan Zuhaira Nasrin, 26 – mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut.
Kes ini kini sedang dalam proses perbicaraan, dan perkembangan lanjut akan dikemaskini oleh pihak berkuasa.
Artikle Berkaitan :>
Penyanyi Bea Soba Bea mengaku ambil pil, tidak mengaku miliki 6,059 biji pil kuda