Anak saudara Sultan Brunei, Faiq Bolkiah dijual kepada Maritimo
Leicester jual pemain paling kaya di dunia
PEMAIN paling kaya di dunia telah meninggalkan Leicester dan menyertai kelab Portugal, Maritimo. Faiq Bolkiah, 22, anak saudara kepada Sultan Brunei meninggalkan Foxes tanpa berpeluang beraksi dalam perlawanan profesional dan berharap perpindahan tersebut akan dapat memulihkan kembali kariernya.
Pernah dikaitkan dengan perpindahan ke Wolves, pemain sayap itu merupakan pewaris kepada harta Sultan Hassanal Bolkiah yang bernilai 22 billion pound (RM116 billion).
Bapanya, Jefri Bolkiah merupakan adik kepada hartawan petroleum tersebut, jadi ia secara tidak langsung menjadikan Faiq sebagai ahli keluarga diraja tersebut. Namun, ia tidak menghalang Faiq untuk meneruskan kariernya dalam bola sepak walaupun memiliki keluarga yang kaya-raya.
Mari kita lihat perjalanan karier Faiq yang sebenarnya tidak perlu bersusah-payah untuk bekerja kerana kekayaan yang diwarisinya. Walaupun seorang anak hartawan, Faiq tidak diberi laluan mudah untuk memulakan karier bola sepaknya ketika di peringkat remaja.
Selepas bermain bersama AFC Newbury sewaktu remaja, Faiq kemudiannya mengikat perjanjian selama setahun dengan akademi remaja Southampton pada 2009. Bagaimanapun, prestasinya tidak cukup meyakinkan untuk meraih kontrak sepenuh masa dan dia selepas itu, menghadiri sesi uji bakat di Arsenal pada 2013. Dia bermain bersama Gunners pada 2013 dalam Piala Lion City.
Faiq menjaringkan gol menentang skuad remaja pilihan Singapura pada pertandingan itu. Menyedari bakat pemain itu, Chelsea kemudiannya menawarkan kontrak selama dua tahun pada 2014. Bagaimanapun, Faiq meninggalkan Stamford Bridge pada Disember tahun yang sama dan kemudiannya menurunkan tanda tangan bersama Leicester pada 2015 untuk perjanjian selama tiga tahun.
Di pentas antarabangsa, walaupun tidak pernah beraksi dalam perlawanan profesional di England, Faiq masih mampu menyarung jersi skuad kebangsaan Brunei sebanyak sembilan kali dan menjaringkan satu gol.
Selain itu, Faiq juga pernah menerajui skuad Brunei selaku kapten dalam pertandingan Piala Tsunami Solidariti Dunia Aceh pada 2017.
Walaupun dilahirkan di Los Angeles yang melayakkannya mewakili Amerika Syarikat, Faiq tetap setia memilih keluarga dan akar umbinya.
Berbeza dengan sikap bapanya, Jefri yang gemar berbelanja mewah, Faiq lebih selesa mengejar kariernya sebagai pemain bola sepak profesional.
“Saya bermain bola sepak sejak kecil dan saya sentiasa gembira setiap kali berada di atas padang. Ibu bapa saya sering memberikan sokongan dan membantu saya mencapai impian menjadi pemain bola sepak.
“Mereka sangat tegas sewaktu melatih saya baik dari segi psikologi dan fizikal ketika saya masih kanak-kanak lagi, jadi mereka adalah model peranan saya,” kata Faiq dalam satu temu bual yang jarang sekali berlaku. – The Sun UK – SM